'Transporter' gagal hantar sembilan PATI ke Raub

Iklan
Muhamad Zaki pada Sabtu menunjukkan kereta yang membawa sembilan PATI di Kampung Tualang, Kuala Krai.

KUALA KRAI - Seorang lelaki yang bertindak sebagai 'transporter' ditahan semasa membawa sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar selepas kereta yang dipandu terbabas di Kampung Tualang di sini pada Rabu.

Kesemua PATI terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita itu ditahan pada jam 7.30 pagi semasa anggota unit rondaan kereta polis (MPV) meronda kawasan tersebut.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ketika melakukan rondaan pada jam 6.10 pagi, anggota MPV telah ternampak sebuah kereta jenis Toyota Corolla dipandu dalam keadaan mencurigakan di simpang Sungai Durian.

"Anggota MPV kemudian mengarahkan kereta tersebut untuk berhenti bagi membuat pemeriksaan, namun pemandu enggan berbuat demikian.

Iklan

"Sebaliknya, pemandu secara tiba-tiba telah bertindak memecut secara laju dalam keadaan merbahaya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai pada Sabtu.

Menurut beliau, anggota MPV terus bertindak mengejar kereta tersebut sebelum hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh tiang simen benteng penghujung jalan mati di Kampung Tualang.

Iklan

Ujarnya, bagaimanapun pemandu yang bertindak sebagai 'transporter' telah melarikan diri, namun dikejar oleh polis sehingga berjaya ditahan

"Pemeriksaan ke atas kereta tersebut telah membawa kepada penemuan warga Myanmar yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah masuk ke negara ini.

"Hasil siasatan lanjut dapati suspek telah mengambil sembilan orang PATI di Lubok Gong, Rantau Panjang untuk dihantar ke Raub, Pahang," katanya.

Muhamad Zaki berkata, suspek memandu kereta tersebut secara berseorangan dengan bantuan tonto yang dikenali sebagai 'Tauke Lee'.

Beliau memberitahu, suspek diupah oleh 'Tauke Lee' dengan bayaran sebanyak RM150 untuk setiap orang yang berjaya dihantar di lokasi yang ditetapkan.