'Video lama, ditularkan semula' - Acryl Sani

Iklan
Klip video tular merupakan kejadian pada tahun 2018 yang ditularkan semula.

KUALA LUMPUR - Klip video tular yang memaparkan seorang lelaki memberikan ucapan berbaur perkauman di sebuah premis merupakan kejadian pada tahun 2018 yang ditularkan semula.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya telah mengesan sebaran sebuah video berdurasi dua minit 20 saat di media sosial.

Iklan
Iklan

"Semakan mendapati video berkenaan adalah video yang dirakam pada 2018 semasa isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD)," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Acryl Sani berkata, dalam video tular itu, ucapan lelaki berkenaan menyatakan sebuah perhimpunan akan diadakan pada 8 Disember.

Iklan

Beliau berkata, video tersebut telah ditularkan kembali oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan membangkitkan kegusaran awam dan kekeliruan, seolah-olah terdapat perhimpunan yang akan dianjurkan pada 8 Disember ini.

"Sehingga kini, tiada sebarang maklumat mengenai perhimpunan yang akan diadakan oleh mana-mana pihak pada 8 Disember seperti yang cuba digambarkan," katanya.

Iklan

Acryl Sani berkata, tindakan tegas akan diambil jika mana-mana pihak dikesan mengadakan sebarang perhimpunan dan perarakan di tempat terbuka yang boleh mengancam ketenteraman awam.

"Orang ramai dinasihatkan tidak menyebar atau berkongsi lanjut sekiranya telah menerima video berkenaan," katanya.

Beliau berkata, kerjasama sebagai pengguna media sosial yang bertanggungjawab amat diperlukan bagi mengelak berita tidak benar daripada disebarkan.

"Mana-mana individu yang dikesan menyebarkan video tersebut boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505 B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," tegasnya.