Agong, Raja Permaisuri zahir takziah pemergian Abdul Hamid

Iklan
Seri Paduka berdua menyanjung tinggi jasa, khidmat dan bakti Allahyarham Abdul Hamid kepada masyarakat. - Foto FB Istana Negara

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Yang Dipertua Dewan Negara serta Menteri Besar Perlis, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh yang meninggal dunia petang Khamis.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Iklan
Iklan

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, malam Khamis, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Abdul Hamid dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

"Seri Paduka berdua menyanjung tinggi jasa, khidmat dan bakti Allahyarham kepada masyarakat dan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara,” menurut hantaran itu.

Iklan

Abdul Hamid,78, semasa hayatnya pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-14 pada 2003 hingga 2009 dan menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Beliau memegang jawatan sebagai Menteri Besar Perlis bermula pada 1986 hingga 1995 selain pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Arau dari 1982 hingga 1986 dan menjadi Ahli Parlimen Kangar pada 1999 hingga 2003.

Iklan

Selain itu, beliau pernah memegang jawatan sebagai Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) selama 12 tahun bermula 2003.

Dilaporkan, Abdul Hamid meninggal dunia pada jam 3.15 petang Khamis di kediamannya di Arau, Perlis dan difahamkan akibat menghidap sakit buah pinggang sejak lima tahun lepas. - Bernama