Azhar tiba di Istana Negara

Iklan
Azhar Azizan
KUALA LUMPUR- Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dilihat telah memasuki Istana Negara kira-kira jam 1.25 tengah hari.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang pergerakan masuk melibatkan pemimpin parti politik melalui pintu dua Istana Negara.

Yang di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagaimanapun tiada di istana buat masa ini dan dilihat berangkat keluar dari istana dengan menaiki kenderaan yang dipandu sendiri Baginda kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Pada Isnin, Baginda menitahkan ketua-ketua parti politik yang mempunyai majoriti terbanyak mengemukakan gabungan baharu dan calon Perdana Menteri kepada Istana Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ketua-ketua parti yang memiliki majoriti terbanyak itu perlu memaklumkan perkara tersebut kepada Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun sebelum diserahkan kepada Istana Negara.

Bagaimanapun, Baginda memberi perkenan untuk melanjutkan proses mengemukakan gabungan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 sehingga jam 2 petang Selasa.

Ia susulan permohonan daripada ketua dan gabungan parti politik dan gabungan politik untuk melanjutkan masa.