Tipu kerja atas talian, 14 individu ditahan

Iklan
Kamarul Zaman menunjukkan gambar 14 anggota sindiket penipuan tawaran kerja atas talian pada sidang akhbar di IPK Johor pada Isnin.

JOHOR BAHRU - Polis menahan 14 individu kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan penawaran kerja atas talian dalam serbuan di dua unit rumah teres di Taman Mount Austin di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua suspek berusia 17 hingga 31 tahun yang ditahan itu terdiri daripada 10 lelaki tempatan, seorang lelaki warga asing dan tiga perempuan warga tempatan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sindiket menyasarkan mangsa dari luar negara terutama Singapura dengan menawarkan jawatan sebagai ejen pelancongan menerusi iklan pekerjaan di media sosial.

"Ejen pelancongan yang ditawarkan pekerjaan oleh sindiket ini bertugas untuk menempah bilik hotel secara atas talian dan kemudiannya menerima komisen sehingga enam dolar Singapura bagi sebuah bilik.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Isnin.

Menurut Kamarul Zaman, polis turut merampas 18 komputer riba, 32 telefon bimbit, dua unit komputer riba dan satu unit papan putih.

Iklan
Kamarul Zaman menunjukkan peralatan komputer yang dirampas daripada sindiket penipuan tawaran kerja atas talian.

"Sindiket aktif sejak dua bulan lalu ini, menggunakan talian telefon yang didaftarkan di luar negara. Anggota sindiket ini berperanan sebagai pegawai sumber manusia dengan tawaran gaji antara RM2,500 hingga RM4,000.

"Polis Johor bekerjasama dengan pihak berkuasa Singapura bagi mendapatkan maklumat lanjut mengesan saki-baki anggota sindiket penipuan ini," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan.