PRU15: Dua lelaki ditahan bakar, buang bendera

Iklan
Hazani

SHAH ALAM - Seramai dua lelaki ditahan di Perak dan Terengganu kerana membuang serta membakar bendera parti politik yang sedang berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Jumaat.

Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM),Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, sebanyak 14 kertas siasatan berhubung kesalahan semasa berkempen telah dibuka di seluruh negara menjelang hari ketujuh kempen.

Iklan
Iklan

"Hasil siasatan mendapati dua orang saksi ternampak suspek memegang sepanduk Parti Warisan dan membuangnya di dalam hutan. Suspek kemudian telah memasang semula sepanduk berkenaan selepas dimarahi dua saksi terbabit," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Hazani berkata, tangkapan kedua melibatkan seorang lelaki tempatan membakar bendera berwarna hijau putih dipercayai bendera parti Pas.

Iklan

"Pengadu menerima satu kiriman video menerusi WhatsApp pada Khamis yang memaparkan seorang lelaki dipercayai penduduk Kampung Pasir Raja di Terengganu sedang membakar bendera.

"Kejadian berlaku di simpang tiga laluan masuk ke Kampung Pasir Raja. Pengadu selaku Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung tidak berpuas hati dengan tindakan suspek dan membuat laporan," jelasnya.

Iklan

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 14 kertas siasatan melibatkan pelbagai kesalahan semasa berkempen dibuka antaranya mengikut Seksyen 457, 504, 427, 147, 506, 505(b), Kanun Keseksaan dan beberapa kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 serta Akta Pilihan Raya.

Katanya, antara kesalahan dilaporkan melibatkan satu hantaran jelik melibatkan seorang calon di Kulim, Kedah dan kejadian menconteng wajah pada poster calon Parlimen Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor di sekitar Presint 11, Putrajaya.

Selain itu, pihaknya turut mengesan sebanyak 432 ceramah yang dijalankan tanpa permit di mana 425 lokasi dikesan di Sabah.

"Sebanyak 1,037 permit ceramah telah dikeluarkan di seluruh negara pada 11 November di mana Kedah mencatatkan jumlah tertinggi dengan 173 permit, diikuti Negeri Sembilan (172), Perak (155), dan Selangor (147)," ujar beliau.