Hamzah dedah ada lagi parti mahu sertai PN

Iklan
Hamzah

LARUT - Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin mendedahkan, terdapat sekurang-kurangnya lima lagi parti politik menyatakan hasrat untuk menyertai gabungan itu.

Beliau berkata, permohonan rasmi daripada parti-parti berkenaan antaranya di Sabah dan Semenanjung telah diterima sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurutnya, permohonan parti untuk menyertai PN itu masih dalam proses penelitian bagi memberi laluan dan fokus kepada pilihan raya terlebih dahulu.

"Ada banyak, lebih daripada lima. Di Sabah ada, Semenanjung pun ada. Parti-parti ini sudah tulis surat mahu bersama kita, saya tahulah sebab saya Setiausaha Agung.

Iklan

"Kalau kita umum cepat sangat, mereka kata kita ambil semua. Ambil semua tu maknanya macam 'sakau', jadi kita tak mahu ambil semua," katanya sempena Majlis Ramah Mesra calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, Sungai Bayor di sini pada Selasa.

Pada 2020, PN terbentuk menerusi gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sebelum disertai Parti Maju Sabah (SAPP) dan parti Gerakan.

Hamzah (tengah) sempena Majlis Ramah Mesra calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, Sungai Bayor pada Selasa.

Iklan

Kerajaan dipimpin PN mentadbir negara hanya selama 17 bulan.

Pada 30 Ogos 2021, negara kemudian diterajui oleh kerajaan campuran BN, PN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 30 Ogos 2021.

Dalam perkembangan lain, Hamzah yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Larut berkata, meskipun kempen baru memasuki empat hari, sambutan diterima daripada rakyat dan jentera parti amat menggalakkan seluruh negara.

Malah katanya, banyak kawasan Parlimen yang dahulunya tidak memberikan sokongan, mula tampil membantu jentera-jentera parti.

"Kalau dahulu kita kata hitam, kini sudah nampak kelabu. Bukan bermakna kita sudah boleh menang, tapi memberi rasa ada peluang untuk kita mencapai kemenangan pada pilihan raya ini.

"Dalam kalangan anak muda pun, saya nampak mereka beri sokongan penuh dan turut membantu gerak kerja parti di seluruh negara," katanya.