Geng Deva pecah rumah tumpas

Iklan
Ahmad Ridhwan menunjukkan antara peralatan pecah rumah yang digunakan ahli Geng Deva untuk kegiatan pecah rumah di sekitar Telok Panglima Garang, Banting sebelum diberkas polis baru-baru ini.

KUALA LANGAT - Polis menyelesaikan lima kes pecah rumah babit kerugian berjumlah RM30,000 susulan tangkapan tiga ahli Geng Deva di daerah ini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, suspek pertama iaitu ketua geng berjaya diberkas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan Balai Polis Telok Panglima Garang pada jam 7.40 malam, Khamis lalu di Telok Panglima Garang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, soal siasat suspek kemudian membawa tangkapan dua lagi rakannya pada jam 12.25 tengah malam, Jumaat di sekitar Telok Panglima Garang.

"Semakan mendapati ketiga-tiga suspek berusia 26 hingga 30 tahun mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai aktif melakukan jenayah sejak tiga bulan lalu.

"Dengan tertangkapnya tiga suspek ini, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah di sekitar kawasan Telok Panglima Garang membabitkan kerugian RM30,000.

Iklan

"Kesemua suspek kini direman lima hari untuk siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," tegasnya.

Pada Rabu, polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 69 tahun mengatakan rumahnya di Taman Dato Hormat, Telok Panglima Garang telah dipecah masuk hingga mengalami kerugian antaranya wang tunai ribuan ringgit, barang kemas serta telefon bimbit.