Rakyat makin terbeban dengan kos sara hidup

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.

SHAH ALAM - Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus itu akan menyebabkan tekanan inflasi semakin tinggi kepada rakyat di negara ini.

Pakar ekonomi, Manokaran Mottain berkata, keadaan itu menyebabkan rakyat sengsara dan menjadi semakin terbeban dengan peningkatan harga barang, kos sara hidup dan komitmen ansuran yang lain.

Iklan
Iklan

Ujar beliau, negara juga tidak dapat mengekalkan kadar mata wang ringgit seperti sebelum ini kerana kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dan jangkaan kadar penamat (terminal rate) semakin bertambah.

"Kerajaan perlu lakukan sesuatu untuk mengurangkan beban yang dihadapi. Saya rasa kita perlu memperketatkan lagi penguatkuasaan terhadap harga barang,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Bagaimanapun, beliau berkata, BNM tidak ada pilihan lain selain terpaksa menaikkan kadar OPR bagi menstabilkan jurang perbezaan nilai mata wang Malaysia dan AS.

"Dengan menaikkan kadar OPR sebanyak 2.75 peratus, sekurang-kurangnya kita boleh tahan ringgit kita daripada jatuh.

Iklan

"Bila jurang perbezaan itu meningkat bermakna pelabur-pelabur mungkin akan keluar daripada Malaysia.

"Jadi bila banyak pelabur yang akan keluar dari Malaysia, ia akan menjejaskan prestasi Bursa Malaysia,” ujarnya.

Kenaikan itu adalah kenaikan keempat berturut-turut tahun ini untuk kadar penanda aras pinjaman dan simpanan sejak September, Mei dan Julai lalu.

Pada 11 Mei, BNM mengumumkan kadar OPR dinaikkan daripada 1.75 peratus kepada dua peratus.

Pada 6 Julai, kadar OPR dinaikkan lagi sebanyak 25 mata asas daripada dua peratus kepada 2.25 peratus.

Pada 8 September, BNM memutuskan menaikkan kadar OPR daripada 25 mata asas kepada 2.50 peratus.