Skuad trek para negara sambar perak

Iklan
Skuad berbasikal negara meraih pingat perak pada Kejohanan Basikal Para Trek Sedunia 2022 di Perancis pada Jumaat. - Foto PKBM

STATUS Malaysia sebagai kuasa terbesar trek di Asia terus dipandang tinggi rentetan kejayaan pasukan berbasikal para menggondol pingat perak pada Kejohanan Basikal Para Trek Sedunia 2022 di Montigny-le-Bretonneux, Perancis pada Jumaat.

Kejayaan itu hadir menerusi Mohd Khairul Hazwan Wahab, Muhammad Khairul Adha Rasol, Nor Suraiya Muhamad Zamri dan Farina Shawati Mohd Adnan yang hampir mendominasi acara 750 meter tandem pecut berpasukan.

Iklan
Iklan

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab mengakui amat terharu dengan kejayaan skuad basikal para trek membawa pulang kilauan perak, sekali gus membuktikan mereka setanding dengan skuad trek elit kebangsaan.

"Kejayaan ini membuktikan kita berjaya menguasai disiplin trek elit lelaki dan basikal-para trek. Saya rasa jarang ada negara yang berupaya melakukan kejayaan seperti Malaysia. Setahu China pun kuat dalam disiplin basikal para trek.

Iklan

"Saya ingin ucapkan tahniah kepada keempat-empat pelumba tersebut. Mereka telah mengharumkan nama Malaysia.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) berharap kejayaan skuad basikal para trek negara di Perancis itu mendapat 'perakuan' daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Iklan

"Mereka mesti menerima habuan insentif kerana kejayaan membawa pulang pingat perak daripada Kejohanan Basikal Para Trek Sedunia 2022. Saya sangat berharap kejayaan ini dipandang tinggi oleh semua pihak,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan basikal bukit (MTB) Malaysia yang meraih pingat gangsa menerusi acara lelaki dan wanita elit berganti-ganti pada Kejohanan Lumba Basikal Asia Basikal Bukit (MTB) 2022 di Suncheon, Korea Selatan pada Khamis.

"Saya berasa sangat bangga kerana dalam minggu ini pasukan MTB negara berjaya membawa pulang pingat perak dari Suncheon. Ini membuktikan PKBM masih bernafas dan mampu untuk melakar kejayaan demi kejayaan di peringkat dunia,” ujarnya.