Subsidi untuk pulang mengundi boleh jadi satu kesalahan: Bersih

Iklan

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) melahirkan kebimbangannya berhubung langkah kerajaan Sarawak yang mempertimbangkan untuk menyediakan subsidi kepada pengundi dari negeri tersebut untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan pada Isnin berpandangan bahawa tindakan itu boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 20 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 jika ia dilaksanakan secara bersyarat dan tidak kepada semua pengundi.

Iklan
Iklan

"Sekiranya disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda RM5,000, dihalang untuk mengundi atau menjadi calon selama lima tahun, dan sekiranya telah dipilih menjadi wakil rakyat boleh kehilangan kerusi.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Sabtu memaklumkan pihaknya akan berbincang secara terperinci bersama pimpinan lain bagi pemberian subsidi kepada anak Sarawak untuk balik mengundi pada PRU15.

Iklan

Bersih berkata, sesiapa sahaja yang menawarkan subsidi untuk membawa pulang pengundi untuk mengundi perlu memastikan bahawa tawaran tersebut dibuka kepada semua pengundi tanpa mengira kecenderungan politik.

Menurutnya, keseluruhan proses dan aktiviti mengangkut pengundi itu juga tidak sepatutnya membawa sebarang tanda calon atau parti yang akan pengaruhi pengundi membuang undi.

Iklan

"Walau bagaimanapun, apabila kerajaan Persekutuan atau negeri menawarkan tambang subsidi, isu penyalahgunaan sumber kerajaan semasa pilihan raya bagi mendapatkan kelebihan akan timbul, terutamanya jika mempunyai hubungan langsung atau tidak langsung untuk menyokong calon kerajaan.

"Ia akan memberikan kerajaan sedia ada kelebihan yang tidak adil dan tidak beretika, namun malangnya undang-undang sedia ada tidak menjadikannya satu jenayah,” ujar kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, Bersih mengajak kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk menyokong usaha pihaknya bagi menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar membenarkan undi awal kepada pengundi luar kawasan.

Menurut gabungan tersebut, langkah itu perlu dilaksanakan terutama buat pengundi Malaysia Timur yang tinggal di Semenanjung, dan Malaysia Barat yang tinggal di Sabah dan Sarawak.

"Ia agar mereka diberi hak undi awal dan mengundi tiga hari sebelum hari pengundian di pusat pengundian mega yang boleh didirikan di setiap negeri,” ujarnya.