Masih ada ruang kerjasama UMNO, Pas: Annuar

Iklan
Annuar (tengah) bersama para Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh dan pelancaran jentera pilihanraya Barisan Nasional Ketereh di Kompleks YKK, pada Jumaat. - Foto Bernama

KOTA BHARU - Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata masih ada ruang untuk kerjasama politik antara parti itu dengan Pas bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, pucuk pimpinan kedua-dua parti itu perlulah mengambil pendekatan yang bijaksana kerana pada peringkat bawahan pemuafakatan kedua-dua parti masih boleh diterima.

Iklan
Iklan

"Saya nampak sebenarnya UMNO dan Pas boleh menjadi tunjang dan saya tidak nampak sangat parti-parti yang lain.

"Jadi sebenarnya kerjasama UMNO dengan Pas ini tersangat penting dan tidak dapat tidak, mesti bekerjasama,” beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Ketereh dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Melor, di sini pada Jumaat.

Iklan

Annuar mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Jumaat bahawa Pas masih terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik pada PRU15, termasuklah merealisasikan penyatuan ummah.

Annuar berkata, pada pemerhatiannya, Pas dilihat tidak menutup pintu kerjasama dengan UMNO dan beliau memahami situasi mereka.

Iklan

"Kita faham dan tidak mahu menekan Pas kerana mereka ahli-ahli parti (Perikatan Nasional) secara berdaftar dan ini bukan satu perkara yang mudah untuk mereka mengumumkan keluar (PN) semata-mata kerana mahu bersama dengan UMNO tetapi muafakat dalam kalangan rakyat dan pengundi sudah berlaku di akar umbi,” katanya. - Bernama