KKR akan lancar dasar pembangunan jalan dan lebuh raya 2030

Iklan
Fadillah

KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya (KKR) akan melancarkan Dasar Pembangunan Jalan dan Lebuhraya 2030 selain sedang menyediakan Dasar Penyelenggaraan Infrastruktur Negara 2030, bertujuan mencapai pembangunan mampan menerusi infrastruktur jalan yang berdaya tahan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, untuk itu semua pihak yang berkaitan perlu bekerja secara kolaboratif dan menggembleng usaha dalam membina infrastruktur yang berdaya serta mampan.

Iklan
Iklan

"Jalan yang akan dibina perlu disepadukan dengan sistem lain seperti lembangan sungai, penggunaan tanah, dan pembangunan di sekelilingnya. Oleh itu, terdapat keperluan untuk menerima pakai kriteria Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi mengurangkan risiko kerosakan yang meluas kepada infrastruktur kita, sekiranya berlaku bencana alam.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan dan Pameran Jalan Malaysia (MRC) Ke-11 serta Kongres Persekutuan Jalan Antarabangsa (IRF) Rantau Asia-Pasifik Ke-4 di Pusat Dagangan Dunia di sini pada Selasa.

Iklan

Fadillah turut memaklumkan bahawa KKR akan memulakan persiapan untuk Pelan Pembangunan Rangkaian Lebuhraya bagi Sabah dan Sarawak yang akan dilancarkan pada 2025.

Pada majlis itu beliau menyampaikan Anugerah Pelajar Tahun Akhir Terbaik Presiden Pertubuhan Kejuruteraan Jalan Malaysia (REAM) 2022 kepada empat pelajar iaitu Hafizatul Ulya Harun dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Khairul Faisal Hasanuddin (Universiti Pertahanan Nasional Malaysia), Choon Yue Hua (Universiti Malaya) dan P. Dineshkumar (Universiti Teknologi Malaysia).

Iklan

Fadillah turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Jalan Raya 2022 kepada Projek Jambatan Menghubungkan Kampung Lambor Kiri ke Kampung Lambor (merentasi Sungai Perak) oleh KKR menerusi Jabatan Kerja Raya sebagai agensi pelaksana.

Bertemakan Ke Arah Infrastruktur Jalan Raya Yang Berdaya Tahan, persidangan tiga hari bermula pada Selasa itu, disertai kira-kira 1,000 peserta dari 20 negara serta lebih 100 reruai pameran oleh pempamer tempatan dan luar negara. - Bernama