Jangan perjudikan bakat muda kita

Iklan
Laporan Sukan Sinar pada Rabu. Gambar kecil: Richard Scully

APA tujuan kelab mahu naturalisasi pemain? Adakah untuk keuntungan sendiri atau demi kebaikan pasukan bola sepak negara?

Itu antara persoalan diutarakan pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Richard Scully ketika ditanya tindakan sebuah kelab yang menaturalisasikan pemain, namun tidak dipanggil mewakili skuad kebangsaan.

Iklan
Iklan

Menurut Richard, beliau berpendapat tiada keperluan untuk sesebuah kelab bola sepak tersebut untuk menaturalisasikan pemain sekiranya ia tidak membantu kepada pasukan kebangsaan itu sendiri.

Malah, beliau berpandangan, tindakan menaturalisasikan pemain tanpa mewakili pasukan negara dilihat hanya satu pembaziran selain bakal merencatkan perkembangan para pemain tempatan.

Iklan

"Jadi di sini, apa tujuan kelab mahu naturalisasi pemain? Adakah untuk keuntungan sendiri atau demi kebaikan pasukan bola sepak negara?

"Kita perlu faham, sekiranya selepas ini ramai kelab yang melakukan perkara sama menaturalisasikan pemain import masing-masing, ia sudah tentu bakal memberi kesan kepada bakat tempatan kita,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, prestasi pemain naturalisasi kembali hangat diperkatakan selepas aksi hambar pemain Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh dalam saingan Piala Raja Thailand baru-baru ini menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Mereka turut menimbulkan persoalan sama ada kudrat pemain import segera Harimau Malaya itu masih relevan atau lupakan sahaja khidmatnya untuk tugasan negara pada masa depan.

Untuk rekod, selain Sumareh, skuad kebangsaan memiliki empat lagi pemain naturalisasi iaitu Sergio Aguero, Lee Tuck, Guilherme De Paula dan pemain tengah, Liridon Krasniqi.

"Bagi saya kelab jangan fikir soal naturalisasi ini. Mereka ada duit bukannya tidak mampu untuk ambil pemain-pemain import.

"Jangan sebab kerana kita terlalu ghairah untuk buat pasukan yang kuat, akhirnya yang diperjudikan adalah bakat-bakat muda kita.

"Saya harap isu tersebut dipandang serius oleh semua pihak dan satu jalan penyelesaian wajar dilakukan bagi mengelakkan lambakan pemain naturalisasi dalam arena bola sepak tanah air,” ujar Richard lagi.