12 rumah kedai di Kampung Cina terbakar

Iklan
Anggota bomba mengambil masa 45 minit untuk mengawal kebakaran yang berlaku di Kampung Cina, di Kuala Teerngganu pada malam Ahad.

KUALA TERENGGANU - Deretan 12 rumah kedai di Kampung Cina di sini, hangus dalam kebakaran pada malam Ahad.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd Khairiri Mat Rasad @ Arshad berkata, insiden kebakaran itu menyebabkan lima rumah kedai 100 peratus terbakar, sebuah rumah kedai (90 peratus terbakar) manakala selebihnya melibatkan kebakaran 50 dan 30 peratus.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 8.42 malam yang melibatkan kedai kain, kedai jahit, kedai emas, kedai makan serta penginapan itu.

"Pihak bomba mengetahui mengenai kebakaran itu daripada orang awam yang bertindak datang terus ke balai di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kota," kata beliau ketika ditemui pemberita pada Ahad malam.

Iklan

Katanya, operasi memadam kebakaran mengambil masa 45 minit melibatkan 60 anggota dan pegawai bomba dari empat BBP iaitu BBP Jalan Kota, BBP Kuala Terengganu, BBP Kuala Nerus, BBP Marang dan pasukan bomba sukarela.

Ujar Mohd Khairiri, turut serta dalam operasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan turut melibatkan dalam empat jentera, dua lori tangki serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Iklan

"Kebakaran merebak sangat cepat berpunca daripada angin dan kita mengalami kesukaran untuk memadamkan api kerana terdapat pendawaian elektrik banyak dibuat di sekitar bangunan terbabit.

"Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan susulan kejadian ini dan kita masih menjalankan siasatan punca kejadian," katanya.