Didik orang ramai cintakan Palestin

Iklan
Antara persembahan yang diadakan oleh kanak-kanak sempena Kids Jamboree 2022.

SHAH ALAM - MyAqsa Defenders menerusi karnival Kids Jamboree 2022 telah menganjurkan pelbagai program bermanfaat di bawah satu bumbung bertempat di Menara KEN, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur pada 9 hingga 11 September lepas.

MyAqsa Defenders dalam satu kenyataan berkata, karnival tiga hari itu mendapat sambutan memberangsangkan yang dihadiri seramai 2,000 pengunjung bertujuan untuk mendidik dan menyuntik semangat orang ramai terutamanya kanak-kanak untuk cintakan bumi Palestin.

Iklan
Iklan

"Karnival ini juga turut menimbulkan rasa cinta kanak-kanak kepada rakan sebaya mereka di bumi Palestin," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, ia juga mewujudkan rasa kebersamaan dan dapat memperkenalkan badan bukan kerajaan (NGO) yang bersama-sama dalam mengetengahkan isu Palestin.

Iklan

"Sempena karnival ini, penganjur juga mengadakan kutipan dana untuk diberikan kepada saudara kita di negara Palestin dan jumlah keseluruhan sumbangan sepanjang program ini berlangsung akan disalurkan kepada MyAqsa Defenders,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, karnival itu turut memainkan peranan penting bagi memperkasa kebersamaan dan kolaborasi antara NGO.

Iklan

"NGO yang bersama Kids Jamboree pada tahun ini termasuklah My Aqsa Defenders, Cinta Syria Malaysia, Muslim Volunteer Malaysia, Cinta Gaza Malaysia, Al Azhar Care One Nation, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Murtadha Dakwah Centre (Madad), Global Peace Mission Malaysia, Iman Care, Dana Kita Malaysia for Syria, Cakna Palestin dan Peduli Insan,” kata kenyataan itu.

Antara program yang telah diadakan ialah persembahan secara langsung maskot Omar dan Hana, Palestine Explore Race, Bouncing Castle, pelbagai permainan karnival dan aktiviti melukis wajah.

Sempena karnival itu, turut diadakan pertandingan mendeklamasikan sajak peringkat sekolah bertemakan ‘Impian Kami’ pada 9 September 2022 dan pertandingan melukis serta mewarna pada 11 September 2022.

Bersama artis-artis gabungan MyAqsa Defenders, terdapat persembahan musikal ‘showcase amal’ oleh ikon-ikon terkenal seperti Aniq Muhai, The Helmi's, Fitri Haris, Ikhwan Fatanna dan kumpulan In-Team.