Gabungan untuk perkasa ekosistem bioteknologi: PM

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakukan gimik sempena Majlis Pelancaran Dasar Bioteknologi Negara 2.0 di Pusat Dagangan Dunia, pada Isnin. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan akan menubuhkan Gabungan Pusat Penyelidikan Bioteknologi Malaysia yang antara lain menentukan hala tuju strategik dan memperkasakan ekosistem bioteknologi berorientasikan kepada pulangan nilai (RoV), kebaikan awam dan kesejahteraan masyarakat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, gabungan yang melibatkan semua institusi dan institut penyelidikan berasas bioteknologi itu juga akan mewujudkan satu badan penasihat pakar bagi menggerakkan agenda negara dengan lebih berfokus dan berasaskan kekuatan negara.

Iklan
Iklan

Ia termasuk mendalami kekayaan biodiversiti negara yang boleh memperkasakan tiga sektor bioteknologi seperti yang termaktub dalam Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0).

Ismail Sabri menggesa semua pihak berperanan aktif dalam mengukuh dan memperkasa ekosistem bioteknologi negara, seiring dengan transformasi strategi dan tadbir urus dasar yang telah dikenal pasti dalam DBN 2.0

Iklan

Beliau berkata, Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd perlu berperanan sebagai pemudah cara industri dan menambah baik Bionexus Bill of Guarantees yang merangkumi keistimewaan status Bionexus agar lebih berdaya saing di peringkat global dan menawarkan insentif menarik.

Selain itu, beliau mahu Institut Bioteknologi Kebangsaan memperkukuhkan fasiliti makmal R&D dan perkhidmatan yang mendapat akreditasi di peringkat antarabangsa bagi meningkatkan kolaborasi dengan institut penyelidikan serta universiti tempatan dan antarabangsa serta pemain industri.

Iklan

"Syarikat modal teroka tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga digalakkan untuk melabur dalam syarikat bioteknologi tempatan bagi memastikan pertumbuhan dan pembangunan bioteknologi negara dapat menembusi pasaran antarabangsa.

"Bank-bank komersial juga diminta agar memudah cara pembiayaan kepada syarikat-syarikat bioteknologi tempatan yang berdaya saing termasuk mengambil kira nilai hak harta intelek sebagai aset yang bernilai," katanya.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk program Bio-based Accelerator (BBA) bagi menggalakkan perkembangan syarikat-syarikat tempatan dalam industri bioteknologi.

Perdana Menteri juga mengumumkan, peruntukan RM2 juta untuk penganjuran BioMalaysia 2023 dan berharap persidangan tersebut akan dapat dianjurkan dengan jayanya dan menarik lebih ramai pemain industri serta pelabur asing dan tempatan. - Bernama