Hibah TH: Kenapa hanya agih RM913 juta?

Iklan

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mempersoal mengapa Tabung Haji (TH) hanya mengagihkan RM913 juta kepada pendeposit bagi hibah atau bonus sedangkan pihak tersebut mengumumkan keuntungan boleh agih bagi tahun kewangan 2018 sebanyak RM2 bilion.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut bertanyakan tentang baki keuntungan RM5.8 bilion hasil penjualan aset-aset berharga TH kepada syarikat tujuan khas (SPV) Urusharta Jamaah Sdn Bhd.

Iklan
Iklan

"Sebagaimana laporan sebelum ini jumlah aset bernilai RM10 bilion telah berjaya dijual pada nilai RM19.9 bilion. Sekiranya keuntungan ini digunakan untuk menutup defisit RM4.1 bilion aset pada tahun 2017, maka ia masih berbaki RM5.8 bilion.

ARTIKEL BERKAITAN: Hibah TH pada kadar 1.25 peratus

"Namun begitu, TH hanya mengisytiharkan RM2 bilion sahaja keuntungan boleh agih. Ke mana perginya RM3.8 bilion baki keuntungan hasil jualan aset-aset TH?," soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Iklan

Menurutnya, apakah jaminan aset-aset yang dijual TH kepada Syarikat Urusharta Jamaan Sdn Bhd mampu ditebus pada nilai yang sepatutnya.

"Apakah yang terjadi sekiranya nilai aset-aset ini kurang dari nilai sukuk yang dipegang oleh TH? Sudah tentu TH terpaksa merekodkan kerugian.

Iklan

"Oleh yang demikian, jaminan kerajaan amat penting, tetapi sebagaimana yang dilaporkan, Kementerian Kewangan bertegas tiada jaminan kerajaan diberikan. Bagaimana kepentingan TH dapat dijaga?" soalnya lagi.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, sekiranya benar berlaku penyelewengan, penipuan, manipulasi akaun oleh pengurusan terdahulu, mengapa sehingga hari ini tiada pendakwaan dibuat.

"Sebaliknya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof lebih gemar mencetuskan sentimen dan menghukum mereka di mahkamah persepsi.

"Apakah ini satu cara menutup kelemahan pentadbiran kerajaan PH yang hakikatnya juga bertanggungjawab menakut-nakutkan pelabur dengan naratif hutang negara tinggi, bakal bankrap, dasar luar negara yang tidak konsisten dan mengelirukan hingga mengakibatkan saham-saham perladangan kelapa sawit serta getah milik TH menjunam jatuh selepas pertukaran kerajaan pada Mei 2018," katanya.

Tambahnya, adakah benar aktiviti pelaburan TH telah digantung sejak tahun lalu menyebabkan jawatankuasa pelaburan tidak bersidang dan badan itu tidak mampu menjana apa-apa hasil pelaburan kecuali menjual asetnya kepada SPV.

"Antara hartanah bernilai yang dijual termasuklah Tanah TRX yang dibeli pada harga RM196 juta dan dijual pada harga RM400 juta, Platinum Park dijual pada harga RM737 juta sedangkan harga belian RM485 juta.

"Ini tidak termasuk hotel-hotel yang turut dijual di TH Bayan Lepas, TH Kuching, TH Hotel Kelana Jaya, TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Alor Setar, TH Hotel Terengganu," katanya.

Menyentuh dakwaan Naib Presiden Amanah, Datuk Hasanuddin Yunus mengatakan TH Indoplantation di Riau rugi sebanyak RM408 juta, sedangkan dalam rekod badan itu mencatatkan keuntungan berjumlah RM873 juta.

"Mohon Mujahid menjelaskan dengan telus dan tulus persoalan-persoalan ini kerana rakyat berhak tahu terutama 9.3 juta pendeposit Islam. Sudah-sudahlah bermain sentimen menyalahkan kerana tidak selamanya rakyat boleh diperbodohkan dengan fitnah dan tohmahan," katanya.