Manchester United bawa pulang tiga mata dari St Mary's

Iklan
Fernandes (tengah) meraikan jaringannya ketika perlawanan Manchester United menentang Southampton di St Mary's. FOTO: AFP

JARINGAN separuh masa kedua Bruno Fernandes sudah memadai memberikan Manchester United kemenangan 1-0 ke atas Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium St Mary's pada Sabtu.

Pelawat yang mengekalkan pemain sama ketika menjinakkan Liverpool 2-1 minggu lalu, sepatutnya mendahului pada minit ke-19, namun dinafikan Gavin Bazunu dan Armel Bella-Kotchap, yang menghalang percubaan Anthony Elanga dan Christian Eriksen.

Iklan
Iklan

Bella-Kotchap kemudian hampir memberikan pendahuluan kepada Southampton selepas merembat hantaran sudut James Ward-Prowse, namun sekadar melewati palang gol The Red Devils.

The Red Devils kendalian Erik ten Hag bermula garang selepas rehat apabila menggandakan tekanan ke atas The Saints asuhan Ralph Hasenhüttl.

Iklan

Hasilnya, pada minit ke-55 Fernandes, yang mengetuai pasukan tanpa kelibat Harry Maguire, menjaringkan gol hasil voli selepas menyudahkan sentuhan Diogo Dalot.

Ten Hag beralih kepada kudrat Cristiano Ronaldo dan Casemiro, yang baru tiba dari Real Madrid awal minggu ini, untuk kembali menyaingi Southampton yang mula menguasai bola, namun tuan rumah gagal menemui gol penyamaan.

Iklan

Kemenangan kedua itu menyaksikan The Red Devils mengumpul enam mata manakala The Saints pula empat mata selepas masing-masing mengharungi empat perlawanan.