Pas minta UMNO rujuk Piagam MN hadapi PRU15

Iklan
Hashim Jasin. - Foto Bernama

SUNGAI BESAR - UMNO diminta merujuk Piagam Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai kedua-dua parti itu bagi memperteguh perpaduan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, kedua-dua parti itu perlu merujuk kembali piagam yang membawa kepada kebaikan kepada UMNO dan Pas demi perpaduan Melayu dan Islam di negara ini.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, perpecahan antara dua parti Melayu terbesar itu hanya memberikan kelebihan kepada musuh politik untuk kembali berkuasa.

"Pas tidak pernah putus asa dan menyeru UMNO kaji semula (keputusan untuk bertanding bersendirian pada PRU15).

Iklan

"Marilah kita duduk bincang (meneruskan kerjasama UMNO-Pas) kerana (perpecahan) tidak menguntungkan kepada dua parti ini, sebaliknya ia hanya memberi peluang kepada musuh untuk berkuasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Pas Pilihanku 4.0 dan Kibar Jalur Gemilang Pas Negeri Selangor di Dataran Markas Pas Kawasan Sungai Besar, Kampung Simpang Lima di sini pada Ahad.

Iklan

Hashim berkata, Pas amat yakin dengan gesaan Islam yang menyarankan dan menitikberatkan soal perpaduan ummah.

Hashim (tiga dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan insentif khas kepada wakil Pas pada Majlis Pelancaran Kempen Pas Pilihanku 4.0 dan Kibar Jalur Gemilang Pas Negeri Selangor di Dataran Markas Pas Kawasan Sungai Besar, Kampung Simpang Lima di sini pada Ahad.

"Kita faham ayat al-Quran tentang penyatuan perpaduan bukan untuk Pas sahaja, tetapi untuk UMNO dan untuk sesiapa sahaja orang Islam.

"Kita mesti bergerak ke arah itu. Apabila kita pegang kepada perpaduan, Insya-ALLAH kita beroleh kejayaan," jelasnya.

Tegas beliau, Pas tidak sibuk mengejar dan memegang jawatan sama ada dalam parti atau pun kerajaan, sebaliknya berusaha untuk melaksanakan amanah diberi dengan sebaik-baiknya.

"Pas yakin akan ikut jalan (perpaduan) ini walaupun tidak berjaya. Soal pegang jawatan atau tak, kita akan terus bekerja dan apabila kalah sekali pun dalam pilihan raya kita tidak kisah kerana sudah menjalankan kerja dengan ikhlas dan bertanggungjawab," ujar beliau.