Murid Tahun Lima parah dirempuh motosikal
BATU PAHAT- Seorang murid Tahun Lima cedera parah selepas dirempuh sebuah motosikal ketika melintas jalan di Kilometer 110 Jalan Johor Bahru - Melaka di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Koris dekat Senggarang, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian yang berlaku pada jam 7 pagi itu membabitkan pejalan kaki, sebuah motosikal dan sebuah kereta.
"Siasatan awal mendapati, kanak-kanak berusia 11 tahun itu sedang melintas jalan di tempat lintasan pejalan kaki.
"Ketika melintas murid berkenaan dirempuh oleh penunggang motosikal berusia 29 tahun," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, akibat rempuhan berkenaan, motosikal itu telah bergesel di bahagian kiri sebuah kereta yang berhenti untuk membelok ke kanan.
"Murid yang dirempuh itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan masih dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.
"Penunggang motosikal yang mengalami cedera ringan itu sudah ke balai polis untuk membuat laporan dan dirakam percakapannya," katanya.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sebelum itu tular video berdurasi 12 saat memaparkan kejadian kemalangan itu di media sosial.