Ringgit dibuka rendah, data ekonomi lemah China pengaruhi sentimen

Iklan
Nilai ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini. - Photo 123RF.

NILAI ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini apabila data ekonomi China yang lemah terus menjejaskan mata wang sedang pesat membangun termasuk ringgit, kata penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.4650/4670 berbanding dolar AS daripada penutupan Isnin pada 4.4570/4595.

Iklan
Iklan

Harga minyak turut jatuh berikutan data ekonomi yang mengecewakan daripada pengimport minyak mentah terbesar dunia dan pengguna minyak mentah kedua terbesar di dunia, China.

China mengurangkan kadar dasar utamanya buat kali pertama sejak Januari, menurunkan kemudahan pinjaman jangka sederhana setahun sebanyak 10 mata asas kepada 2.75 peratus.

Iklan

Ini adalah langkah mengejutkan selepas angka perindustrian runcit, pelaburan untuk bulan Julai negara itu tidak seperti jangkaan ahli ekonomi.

Penanda aras minyak mentah Brent pula susut 1.13 peratus kepada US$94.03 setong.

Iklan

Dalam pada itu, peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues berkata, tumpuan pelabur akan lebih terarah kepada keluaran minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat (FOMC) yang dijadualkan pada hari Rabu.

Beliau berkata, dokumen itu sepatutnya menawarkan petunjuk mengenai dasar monetari yang diterima pakai oleh bank pusat AS dalam beberapa bulan akan datang.

"Dari sudut teknikal, gandingan dolar/ringgit kekal dalam zon rintangan dan penembusan di bawah paras 4.4365 boleh memberi ruang kepada penurunan seterusnya,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit menyusut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.2395/2414 daripada 3.2379/2402 pada penutup Isnindan lemah berbanding yen Jepun kepada 3.3521/3539 daripada 3.3393/3415 sebelumnya.

Bagaimanapun, unit tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3754/3778 daripada 5.3796/3826 semalam dan naik berbanding euro kepada 4.5338/5358 daripada 4.5488/5514 semalam. - Bernama