AUG 2022: Wushu cemerlang sumbang dua emas

Iklan
Cheong Wan dan Tammy Tan bergambar bersama pingat emas yang dimenangi mereka dalam acara gunshu individu lelaki dan jianshu individu wanita.

SELEPAS kecewa gagal menuai emas pada Rabu, kem wushu negara kembali bangkit pada hari kedua acara itu dipertandingkan di temasya Sukan Universiti ASEAN apabila menuai dua emas daripada empat acara dipertandingkan pada Khamis.

Pada aksi yang berlangsung di dewan Sunee Tower, skuad negara berjaya menggondol dua emas menerusi acara gunshu individu lelaki diwakili Tan Cheong Wan manakala Tammy Tan Hui Ling pula memperoleh tempat pertama dalam kategori jianshu individu wanita.

Iklan
Iklan

Dalam acara gunshu individu lelaki, Cheong Wan mempamerkan aksi mantap untuk memastikan tempat pertama milik Malaysia dengan pungutan 9.65 mata manakala perak dimenangi wakil Singapura, Ong Zi Meng (9.63 mata) dan peserta Indonesia, Siregar Seraf Naro (9.6 mata) hanya berpuas hati dengan gangsa.

Bagi kategori jianshu individu wanita pula, Tammy diberikan tentangan sengit oleh peserta lain namun berjaya mengekalkan disiplin tinggi untuk membawa pulang emas selepas mengutip 9.67 mata manakala perak pula milik wakil dari Indonesia, Mauriskha Nandhira (9.65 mata) dan gangsa dimenangi peserta Singapura, Shuen Le Yin (9.63 mata).

Iklan

Pengurus pasukan, Sharel Rizel Dzahari berkata, beliau nyata gembira dengan prestasi atlet wushu pada Khamis sekali gus menghampiri sasaran ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Sebenarnya, kita menetapkan empat emas daripada kem wushu negara, setakat ini pada hari kedua sukan terbabit berlangsung sudah melakukan kejutan dengan dua (emas) menjadi milik Malaysia.

Iklan

"Kita optimis mampu mencapai sasaran dan menyamai kejayaan seperti dicipta pada edisi AUG 2018 di Myanmar iaitu membawa pulang empat emas, tujuh perak dan empat gangsa,” katanya.

Selain membawa pulang dua emas, kem wushu negara turut memenangi masing-masing dua emas dan perak sekali gus menjadi antara sukan cemerlang ketika kejohanan berbaki tiga hari sebelum melabuh tirai.