Najib dedah miliki aset RM4.49 juta

Iklan
Najib
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendedahkan memiliki aset antaranya kereta mewah, deposit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan lot tanah, berjumlah RM4.49 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu selaku defendan memaklumkan bahawa beliau mempunyai lot tanah dan rumah di Pekan, Kuantan, Bentong dan Genting Highland, Pahang serta di Semenyih, Selangor bernilai RM460,987.

Najib, 69, turut menerima hadiah empat kereta mewah jenis Mercedez-Benz, masing-masing satu Bentley Continental Flying Spur dan motosikal Kawasaki ZG.

Beliau turut memiliki dua kenderaan iaitu kereta jenis Mercedez-Benz dan sebuah motosikal Honda EX-5 bernilai RM252,000.

Selain itu, Najib memberitahu memiliki wang tunai lebih RM1.2 juta dalam akaun Affin Bank dan wang pelaburan dalam ASNB berjumlah RM2.5 juta.

Beliau membuat pendedahan itu susulan SRC International Sdn Bhd dan sebuah anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB) selaku plaintif memperoleh perintah injunksi mareva daripada Mahkamah Tinggi di sini.

Perintah injunksi mareva dibuat bagi menghalang Ahli Parlimen Pekan itu daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya bernilai sehingga RM42 juta, sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

Mengikut dokumen yang diperoleh, Najib mendedahkan aset miliknya dalam afidavit tambahan yang difailkannya menerusi Tetuan Shafee & Co pada 20 Julai lalu.

Ketika dihubungi media, peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib mengesahkan perkara itu.

Muhammad Farhan berkata, prosiding pada Selasa ditetapkan untuk perbicaraan permohonan penangguhan prosiding kes saman SRC terhadap Najib.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya telah menarik balik permohonan berkenaan dengan syarat untuk memfailkan pembelaan dalam masa dua bulan.

"Mahkamah kemudian menetapkan 13 Oktober depan untuk pengurusan kes saman itu,” katanya selepas prosiding yang diadakan di hadapan Hakim Datuk Amarjeet Singh.

Pada 24 Mac lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Arief Emran Arifin yang membenarkan permohonan SRC dan GMSB dalam saman SRC ke atas Najib turut mengarahkan Ahli Parlimen Pekan itu, mendedahkan kepada peguam SRC secara bertulis aset beliau di dalam atau di luar Malaysia bernilai sehingga RM42 juta dalam tempoh 30 hari selepas perintah itu diserahkan kepadanya.

Mohd Arief Emran turut mengarahkan Najib supaya tidak mengalih, melupus, mengendali atau mengurangkan nilai asetnya di dalam dan di luar Malaysia bernilai sehingga RM42 juta, sehingga keputusan akhir saman itu dikeluarkan.

Najib juga dibenarkan mengeluarkan dan membelanjakan wang daripada sebuah akaun bank atau sumber lain tidak melebihi RM100,000 sebulan untuk perbelanjaan sara hidup dan guaman yang mahkamah ini menyatakan ia adalah termasuk perintah injunksi mareva sementara diperoleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Sementara itu, Najib menerusi afidavit yang difailkan pada 25 April lalu, mengesahkan beliau tidak mempunyai sebarang aset berjumlah RM42 juta.

SRC, anak syarikat 1MDB dan GMSB, anak syarikat milik penuh SRC, memfailkan writ saman pada 7 Mei tahun lalu, mendakwa Najib melakukan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana berkenaan.