Tun Juhar hadir sambutan Hari Pahlawan

Iklan
Tun Juhar memeriksa perbarisan pasukan keselamatan pada pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Pahlawan di Padang Merdeka Kota Kinabalu, pada Ahad. - Foto Bernama

KOTA KINABALU - Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada Ahad menghadiri sambutan Hari Pahlawan serta melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Sabah di Padang Merdeka di sini.

Pada sambutan diadakan secara bersama itu, Juhar diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah.

Iklan
Iklan

Sambutan Hari Pahlawan diserikan dengan beberapa acara antaranya persembahan pantomim pertempuran antara anggota tentera Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI) pada 29 Disember 1963.

Persembahan bertenaga itu menggunakan peralatan seperti kejadian sebenar pada zaman itu yang memaparkan tindak balas Indonesia yang tidak bersetuju kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Iklan

Kejadian berdarah yang berlaku 59 tahun lepas itu telah mengorbankan seorang pegawai dan tujuh anggota lain-lain pangkat daripada pihak Malaysia manakala seorang anggota TNI telah terkorban sekali gus menjadi titik hitam dalam sejarah Tentera Darat dan negeri Sabah.

Pantomim itu memperlihatkan sifat kepahlawanan dan tidak mudah mengalah anggota tentera dalam mempertahankan negara wajar dijadikan pedoman dan ikutan agar negara kekal berdaulat.

Iklan

Hadirin juga turut bertafakur seketika bagi mengenang mereka yang terkorban semasa mempertahankan negara sebelum bacaan sajak pahlawan berjudul ‘citra warga tatkala tersirat makna cintanya terhadap tanah air tercinta’ buat para pahlawan tanah air dideklamasikan oleh Sukor Usin@Hussin.

Bagi menandakan bermulanya sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang itu, Juhar diiringi Hajiji dan Masidi kemudian melepaskan konvoi Kembara Merdeka 2022 melibatkan 15 kenderaan dan lebih 50 peserta akan menjelajah seluruh negeri selama 11 hari bermula 9 Ogos ini.

Peserta terdiri daripada jabatan dan agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Penerangan, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Pos Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Kembara Merdeka itu yang dijadual melawat sembilan lokasi bertujuan menyemarakkan rasa cintakan negara dan memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan serta Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini. - Bernama