Jepun sahut cabaran ACC BMX 2022

Iklan

KUASA besar sukan berbasikal BMX Asia, Jepun muncul pasukan terbaharu mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Lumba Basikal BMX Asia 2022 (ACC BMX 2022) di Bandar Baru Nilai 17 hingga 21 Ogos ini.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab percaya penyertaan Jepun akan menyemarakkan minat negara lain untuk segera mengesahkan tempat pada ACC BMX 2022.

Iklan
Iklan

"Namun setakat ini, JCF (Persekutuan Berbasikal Jepun) belum menghantar borang penyertaan kepada PKBM.

"Persetujuan Jepun dinyatakan menerusi aplikasi WhatsApp menerusi koordinator JCF, Naoko Kaizuka kepada kami.

Iklan

"Jepun berjanji akan menghantar kontinjen yang besar demi memeriahkan ACC BMX 2022.

"Jepun ialah antara kuasa tradisi dalam sukan BMX di Asia. Penyertaan Jepun pada ACC BMX 2022 sudah pasti akan membuka mata negara lain khususnya China, Korea Selatan dan Kazahkstan.

Iklan

"Saya gembira dengan persetujuan Jepun dan berharap penyertaan negara itu boleh memberi impak yang positif kepada ACC BMX 2022,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM pada Isnin.

Setakat ini enam negara – Jepun, Thailand, Hong Kong, Indonesia, Singapura dan Malaysia sudah mengesahkan penyertaan pada ACC BMX 2022.

Kejohanan ACC BMX anjuran kedua Malaysia dalam tempoh lima tahun sejak 2018 dianggap penting kerana bakal menyajikan mata kelayakan menerusi disiplin BMX ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Abu Samah menjelaskan kutipan mata kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Paris menerusi acara BMX mula ditawarkan menerusi kejohanan bertaraf benua (continental) bermula 1 Ogos 2022.

"Ini secara tidak langsung menjadikan ACC BMX 2022 sebagai salah satu platform terbaik untuk semua pelumba BMX di benua Asia memburu mata kelayakan Sukan Olimpik 2024,” katanya.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menjelaskan PKBM percaya angka penyertaan ACC BMX 2022 akan melepasi sasaran 10 negara kerana kebanyakan negara sudah hampir bebas daripada pandemik Covid-19.

"Sudah pasti ramai pelumba yang idamkan slot tiket ke Sukan Olimpik 2024 di Paris perlu bertanding di ACC BMX 2022 di Nilai kerana kejohanan ini menawarkan mata kelayakan Olimpik.

"Saya yakin angka penyertaan akan melepasi 8 pasukan pada waktu kita menganjurkan ACC BMX 2018. Saya difahamkan ketika ini sukan BMX semakin popular di kebanyakan negara di Asia,” katanya.

ACC BMX 2022 akan menawarkan lima acara termasuk men elite, women elite dan Bawah 23.

Selain ACC BMX 2022, PKBM juga akan menganjurkan Kejohanan Antarabangsa BMX 2022 yang setakat ini mendapat penyertaan lebih 250 pelumba.