Maut langgar tayar belakang treler, diseret 50 meter

Iklan
Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah HTAR. Foto: FACEBOOK

PULAU INDAH - Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang melanggar tayar belakang treler di depoh Pelabuhan Barat di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa, Ramlee Rusland, 31, maut dipercayai selepas terjatuh dan diseret sejauh kira-kira 50 meter dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari. Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian berlaku ketika pemandu treler lelaki berusia 45 tahun, sedang memandu dalam kawasan depoh Pelabuhan Barat.

Iklan
Iklan

"Ketika pemandu lori terbabit membelok ke kiri memasuki depoh, mangsa secara tiba-tiba melanggar bahagian tayar kiri belakang treler.

"Mangsa dipercayai terjatuh dan terseret sebelum disedari pemandu treler,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Iklan

Menurutnya, mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah HTAR akibat kecederaan parah manakala pemandu lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Iklan

Shamsul Amar berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, video mengenai kemalangan terbabit tular di laman sosial Facebook dan mendapat pelbagai komen daripada netizen.