Arahan penjimatan tidak jejas perkhidmatan kesihatan

Iklan
Khairy Jamaluddin

IPOH - Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bahawa langkah penjimatan yang diarahkan Kementerian Kewangan tidak akan menjejaskan sistem perkhidmatan kesihatan negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penjimatan itu dilakukan melibatkan perkhidmatan bukan kesihatan.

Iklan
Iklan

"Saya beri jaminan bahawa Pekeliling Perbendaharaan itu tidak akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan. Perkara asas seperti ubat-ubatan tidak akan dipotong.

"Perkara yang tidak melibatkan perkhidmatan kesihatan seperti majlis protokol, jamuan dan baju. Macam majlis buatlah di fasiliti sendiri, tidak perlu sewa hotel dan tidak perlu katering mewah," katanya selepas melancarkan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Perak dan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan di Meru Raya di sini, pada Sabtu.

Iklan

Khairy berkata, setiap peringkat di kementerian itu diarahkan untuk melakukan penjimatan ekoran pekeliling yang dikeluarkan pada Jumaat.

"Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh telah memberi arahan kepada semua bahagian dan juga program di bawah KKM untuk menggariskan langkah penjimatan seperti mana yang diarahkan.

Iklan

"Di peringkat kementerian, kita akan minta semua jabatan, bahagian untuk senaraikan apa yang boleh kita jimatkan sejajar dengan apa yang dikehendaki oleh Kementerian Kewangan," katanya.

Media melaporkan, semua kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun dan syarikat jaminan kerajaan (CLBG) diarah melakukan penjimatan dengan menguruskan aliran tunai mengikut keutamaan, berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan (MOF), Datuk Seri Asri Hamidon menerusi laporan Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam berkata, program dan aktiviti yang dirancang perlu disusun semula dengan sasaran sekurang-kurangnya lima peratus penjimatan daripada baki peruntukan mengurus tahun ini.