Kerajaan tubuh pasukan khas atasi tuntutan waris Sultan Sulu

Iklan
Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Foto: Bernama

PUTRAJAYA - Kerajaan menubuhkan pasukan khas bagi meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya bagi menangani isu tuntutan waris Sultan Sulu terhadap Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pasukan itu dianggotai Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Peguam Negara Tan Sri Idris Harun dan pakar-pakar berkaitan timbang tara antarabangsa.

Iklan
Iklan

"Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersama Jabatan Peguam Negara sedang menentukan Terma rujukan (TOR) dan juga keahlian tambahan jika perlu bagi pasukan khas ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, BHEUU dan Kementerian Luar Negeri akan bertindak selaku urus setia pasukan khas ini.

Iklan

"Kerajaan memandang serius isu yang mengganggu gugat kepentingan aset-aset negara di luar negara oleh waris Sultan Sulu khususnya aset di bawah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan," katanya.

Justeru itu, tegasnya, kerajaan akan mengambil tindakan proaktif dan agresif dalam menangani isu ini demi mempertahankan aset dan kedaulatan negara.

Iklan

Sebelum ini negara dikejutkan dengan laporan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan cuba dirampas oleh waris kesultanan Sulu yang menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.

Langkah itu adalah sebahagian tindakan undang-undang yang dikemukakan pada 2017 oleh waris Sultan Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa mereka dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Kerajaan Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan waris Sultan Sulu dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.

Malaysia sebelum ini mengenepikan keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris, Perancis, yang menuntut Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.