Pengeluaran getah asli negara susut

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Pengeluaran getah asli (NR) Malaysia merosot 20 peratus kepada 22,498 tan pada April 2022 berbanding 28,106 tan pada Mac, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM dalam kenyataan pada Selasa berkata, pengeluaran NR berkurangan sebanyak 2.2 peratus tahun ke tahun berbanding 23,013 tan pada April 2021.

Iklan
Iklan

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pengeluaran komoditi itu pada April 2022 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (88.1 peratus) berbanding sektor estet (11.9 peratus).

"Jumlah stok NR pada April 2022 menurun sebanyak 4.1 peratus kepada 297,673 tan berbanding 310,433 tan pada Mac 2022, katanya.

Iklan

"Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.5 peratus, diikuti kilang pengguna getah (7.4 peratus) dan estet getah (0.1 peratus),” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, eksport NR Malaysia berjumlah 58,755 tan pada April 2022, meningkat 10.2 peratus berbanding 53,328 tan pada Mac 2022.

Iklan

"China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport NR iaitu berjumlah 39.7 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada April 2022, diikuti Amerika Syarikat (11.3 peratus), Finland (4.5 peratus), Mesir (3.2 peratus) dan Iran (2.5 peratus),” katanya.

Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan NR seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

Beliau berkata, produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM2.2 bilion pada April 2022, meningkat 8.6 peratus berbanding RM2.0 bilion pada Mac 2022.

Mohd Uzir berkata, sentimen penurunan pasaran getah disumbangkan oleh kerugian di pasaran hadapan getah serantau di tengah-tengah kebimbangan situasi lembap akibat sekatan ketat COVID-19 di China, konflik Rusia-Ukraine yang berpanjangan, kekurangan cip di peringkat global yang berterusan serta tekanan inflasi seperti dihuraikan dalam Malaysian Rubber Board Digest yang diterbitkan pada April 2022. - Bernama