Kerajaan lulus RM879 juta percepat PLSB Sungai Golok

Iklan
Keadaan banjir di kawasan Sungai Golok. - Gambar hiasan

RANTAU PANJANG - [DIKEMAS KINI] Kerajaan sudah meluluskan peruntukan berjumlah RM879 juta bagi menyiapkan segera Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di sini bagi mengelakkan berlakunya banjir besar pada masa hadapan.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, peruntukan itu menyaksikan projek fasa dua dan tiga PLSB digabungkan menjadi serentak.

Iklan
Iklan

"Saya difahamkan perkara ini telah diluluskan oleh jemaah menteri pada mesyuarat kabinet pada Mei lalu.

"Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed yang banyak membantu dalam perkara ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan tilam, katil dan bakul makanan kepada mangsa banjir di Kampung Bendang Perol di sini pada Rabu.

Iklan

Barangan tersebut hasil sumbangan daripada Marina Bay Sands Singapore dan Yayasan Almanjie.

Siti Zailah (kiri) beramah mesra dengan salah seorang penerima sumbangan tilam dan katil di Kampung Bendang Perol, Rantau Panjang pada Rabu.

Menurut Siti Zailah, kerja-kerja pengambilan tanah untuk fasa tersebut termasuk teknikal berkait dengan projek berkenaan sedang dijalankan.

Iklan

"Keseluruhan projek itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024.

"PLSB itu dijangka mampu menyelesaikan masalah banjir yang sering berlaku di kawasan Rantau Panjang," katanya.

Media sebelum ini melaporkan projek tebatan banjir fasa pertama diluluskan sebanyak RM600 juta membabitkan jalan dari Pengkalan Kubor ke Sungai Lanchang, Pasir Mas.

Fasa seterusnya membabitkan pembinaan tebatan banjir Rantau Panjang sepanjang 2.5 kilometer, pembinaan tebatan banjir Sungai Golok dari Kampung Lanchang ke sempadan jajahan Pasir Mas iaitu Kampung Limau Purut, pembinaan tebatan banjir Sungai Lanchang dan pembinaan tebatan banjir antara Kampung Limau Purut, Pasir Mas hingga Air Lanas di Jeli.

Selain itu, ia merangkumi pembinaan tebatan banjir Alor Mengkuang, Sungai Pengkalan Nangka, Sungai Meranti dan menaik taraf kolam takungan Tok Uban dan penambahbaikan Sungai Jedok dan Sungai Lanas.