Bagi duit pada lelaki hampir setengah juta ringgit walhal belum jumpa

Iklan
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU - Seorang wanita kerugian hampir RM500,000 akibat diperdaya lelaki warga asing dengan janji manis selepas mereka berkenalan menerusi media sosial.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, wanita berusia 40-an tersebut terjerat janji-janji berbaur cinta lelaki itu hingga sanggup membuat 20 transaksi pemindahan wang sejak tahun lalu walaupun mangsa tidak pernah bertemu individu berkenaan.

Iklan
Iklan

"Mangsa merupakan seorang pekerja swasta dan belum berkahwin. Semua transaksi (pemindahan wang) melibatkan 15 nombor akaun yang berbeza.

"Wanita tersebut kerugian RM500,000 akibat ditipu oleh lelaki warga asing yang tidak pernah dijumpainya walaupun sekali tetapi mangsa rela memberi wang sebanyak itu," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Raya Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Isnin. Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Iklan

Kata Kamarul Zaman, suspek sememangnya menyasarkan mangsa yang belum berkahwin dan kesunyian.

Tambah beliau, kegiatan 'scammer' itu boleh dikesan kerana mereka akan meminta mangsa melakukan pemindahan transaksi melibatkan pelbagai nombor akaun bank.

Iklan

Sementara itu bagi kes berasingan, dua pekerja kedai pengurup wang kerugian Singapore Dollar (SGD) 110,000 atau RM345,730 selepas disamun dua lelaki bersenjata dan bermotosikal dalam kejadian di belakang kedai pengurup wang di sini, pada 29 April lalu.

Kamarul Zaman berkata, kejadian tersebut berlaku berhampiran sebuah stesen minyak pada jam 10.10 pagi ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke sebuah bank untuk membuat tukaran wang.

"Dua suspek lelaki menaiki motosikal melakukan samun bersenjata terhadap dua pekerja kedai pengurup wang tersebut.

"Hasil siasatan mendapati, semasa kejadian pekerja tersebut dalam perjalanan ke bank untuk membuat penukaran wang tunai sebelum diserang suspek.

"Salah seorang mangsa cedera di tangan kiri dan menerima 37 jahitan dalam kejadian samun ini," katanya.

Tambah beliau, bertindak atas maklumat, pada 23 Mei lalu sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat beberapa siri tangkapan dan rampasan.

"Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan dari 30 hingga 42 tahun.

"Polis menjumpai semula barang kes iaitu wang tunai SGD42,000 (RM132,000) disembunyikan dalam tin biskut yang mengandungi 800 keping mata wang SGD50, 200 keping mata wang SGD10 dan empat resit kedai pajak gadai," katanya.

Selain itu Kamarul Zaman berkata, polis turut menemukan sebentuk cincin emas, satu rantai emas, empat kerabu emas bernilai pajakan sebanyak RM12,076, dua resit bank, sembilan unit telefon bimbit pelbagai jenis beserta simkad, seutas tali dipercayai serpihan tali zip beg mangsa yang dibakar, pakaian yang digunakan kedua-dua suspek semasa kejadian serta sebuah motosikal jenis Yamaha 125z.

"Jumlah keseluruhan nilai rampasan dalam kes ini adalah RM144,076. Kesemua tangkapan direman tujuh hari bermula dari 24 Mei hingga Isnin.

"Permohonan lanjutan reman akan dibuat bagi menyiasat kes itu dengan lebih terperinci

mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.