MB sedia bertemu persatuan, pembekal ayam

Iklan
Amirudin ditemui pemberita ketika meninjau perjalanan Pemilihan PKR Cabang Gombak di Dewan Beringin Seri Gombak pada Sabtu.

GOMBAK - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersedia untuk berjumpa dengan semua pihak termasuk persatuan penternak dan pembekal ayam bagi menyelesaikan isu bekalan ayam di Selangor.

Beliau berkata, isu tersebut perlu diselesaikan secepat mungkin kerana ia memberi kesan kepada banyak pihak khususnya pengguna dan penternak.

Iklan
Iklan

"Penternak akan menanggung kerugian lebih lama sekiranya isu ini berlarutan kerana kos yang meningkat," katanya mengulas isu bekalan ayam di Selangor.

Beliau ditemui ketika meninjau perjalanan Pemilihan PKR Cabang Gombak di Dewan Beringin Seri Gombak di sini, pada Sabtu.

Iklan

Amirudin turut memberi jaminan bekalan ayam daripada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) tetap diteruskan di pasar borong.

"Namun jumlahnya tidak mencukupi disebabkan pembekal mengikut kehendak persatuan," katanya.

Iklan

Beliau berkata, isu tiada bekalan ayam di Selangor disebabkan beberapa faktor seperti peningkatan harga makanan ayam yang terpaksa ditanggung penternak.

"Terdapat juga polisi di peringkat pusat menyebabkan isu ini berlaku dan intervensi kita hanya dapat mengawal seketika sahaja.

"Kita akan bincang dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), mungkin boleh diselesaikan dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi supaya ia tidak berpanjangan," katanya.

Pada Jumaat, Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPAS) mengesahkan tiada pengeluaran ayam dari ladang susulan masalah bekalan dan penyakit ayam.