Tangguh umrah: Pembayaran pampasan selesai Mac lepas

Iklan
Ahmad Marzuk - Foto Bernama

KOTA BHARU - Pembayaran pampasan kepada lebih 1,000 jemaah umrah ekoran penangguhan sementara ibadah itu kerana kebimbangan terhadap varian Omicron Covid-19 bermula 8 Januari lepas, telah selesai diberikan pada Mac lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, proses pembayaran diuruskan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, mereka yang menerima pampasan telah memenuhi syarat ditetapkan sebelum ini termasuk dokumentasi berkaitan yang lengkap dengan perbelanjaan bagi pelaksanaan umrah.

"Antara syarat yang dikenakan adalah mereka perlu mengemukakan resit yang mereka telah bayar termasuk segala perbelanjaan yang berbukti namun telah hangus disebabkan penangguhan umrah.

Iklan

"Kita berharap ia (bayaran pampasan) sekali gus meringankan beban mereka yang terpaksa menanggung kerugian akibat penangguhan pelaksanaan umrah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di sini pada Khamis yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan jemaah umrah akan menerima bayaran sagu hati RM1,671 seorang daripada kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dilaporkan berkata, bayaran akan dikreditkan menggunakan akaun simpanan TH jemaah umrah bermula pada 18 Februari lepas. - Bernama