BERITA » Sukan

Perak FC kini milik XOX

Majlis MoU antara Perak FC dan XOX Berhad di Petaling Jaya pada Jumaat. - Foto FB Perak Football Club
SHAHRIZAL AHMAD ZAINI

TEKA-TEKI berhubung status pengambilalihan Perak FC akhirnya terjawab apabila syarikat telekomunikasi terkenal, XOX Berhad (XOX) sah sebagai pemilik baharu kelab Liga Premier itu.

Pada Jumaat, urusan ‘jual beli’ Perak FC selesai apabila satu majlis perjanjian memorandum persefahaman (MoU) diadakan antara XOX dan Impact Media and Communication (IMC) Sdn Bhd.


Majlis yang berlangsung di Pejabat Besar XOX di Tropicana, Petaling Jaya itu turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah nyata lega apabila proses pengambilalihan secara rasmi skuad The Bos Gaurus itu dijangka selesai kira-kira dua minggu lagi.

“Alhamdulillah... Perak FC sudah boleh meneruskan fokus bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M), tiada lagi hal-hal berbangkit terutamanya urusan pemilikan pasukan.

“Malah, kami sudah tidak perlu lagi risau dengan sebarang bentuk hukuman daripada MFL seperti pemotongan mata kerana segala-galanya sudah selesai hari ini (Jumaat).

“Sudah tentu ini satu berita yang baik kepada barisan pemain, jurulatih dan pegawai Perak FC. Tak lupa juga kepada seluruh penyokong Perak FC,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Untuk rekod, Perak FC muncul pasukan kelima Liga-M yang dimiliki sepenuhnya organisasi swasta tanpa ada penglibatan atau perkongsian saham kelab daripada kerajaan negeri atau Persatuan Bola Sepak Negeri (FA).

Muhammad Yunus menjelaskan bahawa masih ada satu urusan yang masih belum dimeterai antara Perak FC dan XOX iaitu perjanjian jual beli.

“Setakat ini kita hanya perjanjian persefahaman (MoU) manakala perjanjian jual beli masih belum ditandatangani antara kedua belah pihak.

“Apa pun, setakat ini semua perkara berjalan lancar. Saya jangka semua urusan pengambilalihan serta jual beli Perak FC kepada XOX akan selesai sepenuhnya dalam masa terdekat,” jelasnya.

Dalam pada itu, XOX menerusi satu kenyataan memaklumkan tunggakan gaji pemain dan pegawai Perak FC akan dilunaskan sepenuhnya sebaik sahaja segala urusan selesai.

“Bagaimanapun, sebagai sebuah syarikat berhad, ia perlu melalui proses 'due dilligence' dan proses berkenaan akan dilaksanakan secepat mungkin.

“XOX turut menyerahkan sumbangan wang tunai RM100,000 yang disampaikan kepada semua pemain dan staf Perak FC sebagai bantuan untuk menyambut Aidilfitri,” menurut kenyataan XOX.

Iklan
Iklan