JPA perlu pantau pelaksanaan pekeliling perkhidmatan awam

Iklan
Adnan

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi penekanan kepada pekeliling yang sudah berkuat kuasa tetapi masih tidak atau gagal dilaksanakan sepenuhnya oleh sesetengah jabatan.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, JPA perlu memantau setiap pekeliling yang sudah diluluskan oleh kerajaan supaya hak dan kebajikan warga penjawat awam tidak diabaikan.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, penekanan terhadap pemantauan pekeliling yang dikuatkuasakan adalah penting bagi memastikan setiap objektif yang telah digarap oleh kerajaan untuk penjawat awam berjaya dilaksanakan dengan berkesan.

"Pekeliling yang dikuatkuasakan oleh kerajaan sudah tentu telah menjalani suatu kajian terperinci sebelum ia boleh dilaksanakan.

Iklan

"Jika pekeliling tersebut tidak dilaksanakan dengan berkesan, menjadi suatu kerugian kepada penjawat awam itu sendiri yang mendapat manfaat secara langsung daripada pekeliling tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah Adnan, antara pekeliling yang sudah dikuatkuasakan dan dilihat tidak dilaksanakan dengan sepenuhnya ialah tempoh kenaikan pangkat secara time-based berasaskan kecemerlangan bagi pegawai kumpulan pelaksana.

Iklan

Jelasnya, tindakan sesetengah jabatan yang tidak melaksanakan pekeliling tersebut sudah tentu memberi kesan motivasi kerja kepada penjawat awam.

"Begitu juga kebenaran penebusan awal wang tunai Gantian Cuti Rehat sebanyak 80 hari yang dilihat masih lagi tidak dilaksanakan sedangkan pekeliling itu telah dikuatkuasakan bermula Januari 2022. Kelewatan pekeliling ini dilaksanakan seolah-olah manfaat yang patut diterima penjawat awam tidak diberikan keutamaan,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap agar JPA dapat menubuhkan suatu jawatankuasa untuk memantau setiap pelaksanaan pekeliling yang telah diluluskan oleh kerajaan.

"Kerajaan sudah menggunakan banyak tenaga dan modal kerja bagi membuat sesuatu kajian kebolehlaksanaan sesuatu pekeliling. Adalah menjadi kerugian jika tiada jawatankuasa dalaman untuk mengaudit pelaksanaannya.

"Sudah tentu golongan sasaran iaitu penjawat awam tidak akan menerima manfaat untuk setiap pekeliling yang sudah dikuatkuasakan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berkata, Cuepacs menyambut baik usaha JPA yang menubuhkan Task Force bagi menyemak semula pekeliling lama untuk diberi nafas baharu selain membatalkan terus mana-mana pekeliling yang sudah tidak relevan.

Jelasnya, usaha itu selaras dengan agenda kerajaan yang mahu memastikan perkhidmatan awam kekal berdaya saing dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat serta pemudahcara kepada sektor ekonomi.

"Perkembangan pesat teknologi dan kemajuan negara ketika ini sudah tentu mengakibatkan banyak pekeliling lama tidak lagi sesuai dipraktikkan atau dilaksanakan berdasarkan perkembangan semasa,” jelasnya.