Sidang DUN: Muzium Keretapi Gemas dalam proses pelaksanaan

Iklan
Aminuddin

SEREMBAN - Pembinaan Muzium Keretapi Gemas oleh Majlis Daerah Tampin (MDT) dengan kerjasama Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Keretapi Tanah Malayu Berhad (KTMB) kini dalam proses pelaksanaan secara berperingkat.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (Sikamat-PKR) berkata, Pejabat Daerah Kecil Gemas telah menerima peruntukan sebanyak RM490,000 daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada tahun 2021 berhubung pelaksanaan tersebut.

Iklan
Iklan

"Ia bagi melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf stesen kereta api lama Gemas menjadi muzium dan kerja-kerja naik taraf tersebut telah siap dilaksanakan pada bulan November 2021.

"Perancangan selanjutnya ke arah membangunkan Muzium Keretapi Gemas adalah di bawah tindakan MDT bagi tahun 2022," katanya sebagai menjawab soalan lisan Datuk Abd Razak Ab Said (Gemas-BN) mengenai perancangan kerajaan Negeri Sembilan untuk merealisasikan sebuah Muzium Keretapi di Gemas dalam Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14, pada Khamis.

Iklan

Kata Aminuddin, perancangan kerajaan negeri untuk merealisasikan sebuah muzium kereta api di Gemas melalui MDT bermula tahun 2020 mempunyai tiga fasa.

"Fasa pertama bagi tahun 2020 dan 2021 sebanyak RM1,060,000 kos dikeluarkan dan status pembangunan telah siap pada 30 November 2021.

Iklan

"Skop kerja di fasa pertama ialah membaik pulih bangunan lama, jejantas, tandas, surau, enam gerabak kereta api, dua platform, longkang, mengganti pagar lama, mengganti 'gutter', menaik taraf pendawaian elektrik dan menaik taraf peralatan elektrik termasuk lampu, kipas dan pendingin hawa," katanya.

Beliau berkata, bagi fasa dua pada tahun 2022 dan 2023, permohonan peruntukan sebanyak RM1 juta telah dihantar kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Pelancongan.

"Antara skop kerja ialah pembinaan bangunan muzium tambahan, baik pulih jambatan timbang, baik pulih table (meja) pusingan lokomotif lama dan landasan lama, manakala bagi fasa tiga tahun 2023 dan 2024, peruntukan sebanyak RM2 juta diperlukan bagi menaik taraf landskap, 'water font' sungai dan tempat letak kereta," katanya.

Menurut Aminuddin, pihak RAC telah bersetuju agar MDT mengambil alih operasi kawasan stesen lama untuk dijadikan muzium keret api dan perjanjian di antara MDT dan RAC ditandatangani dalam masa terdekat ini.

"Selain itu, KTMB juga bersetuju menguruskan muzium dan menyediakan bahan-bahan pameran selaras dengan kelulusan daripada pihak pengurusan atasan KTMB agar kesemua koleksi KTMB dari zaman penjajahan diletakkan di Muzium Gemas," katanya.