Isu MySejahtera: Lebih ramai saksi akan dipanggil

Iklan
Gambar hiasan

SHAH ALAM - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil tiga agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi memberikan keterangan berhubung isu pembangunan dan perolehan aplikasi MySejahtera pada 21 April ini.

Pengerusinya, Wong Kah Woh dalam satu kenyataan berkata, agensi tersebut ialah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) serta Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa).

Iklan
Iklan

"PAC berpendapat bahawa perlu memanggil lagi saksi lain bagi memberikan keterangan lanjut bagi prosiding ini,” katanya pada Khamis.

Pada sebelah pagi, beliau memaklumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bagi memberikan keterangan dan penjelasan dalam prosiding Pembangunan dan Perolehan MySejahtera.

Iklan

Jelasnya, prosiding yang berlangsung selama tiga jam bermula 10 pagi turut dihadiri Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Harjeet Singh dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan serta Kementerian Kesihatan.

"Prosiding ini diadakan dengan menggunakan punca kuasa PAC di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) dan 77(5) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMDR) serta Seksyen III, Perkara 11 (b), Pekeliling Am No. 2 (1982),” ujarnya.

Iklan

Menurutnya, fokus PAC ialah berkaitan pemberian kontrak pembangunan aplikasi MySejahtera kepada syarikat KPI Soft Sdn Bhd pada April 2020.

"Fokus kita juga berkaitan prosiding membabitkan pemberian kontrak secara rundingan terus kepada syarikat MySJ Sdn Bhd oleh kerajaan pada November 2021 serta status rundingan kerajaan dengan syarikat berkenaan.

"Pemilikan aplikasi MySejahtera termasuk modul aplikasi, 'source code' aplikasi, harta intelek dan pangkalan data dan komitmen kerajaan untuk melindungi data-data peribadi rakyat dalam aplikasi MySejahtera,” katanya.