Dua lelaki maut kereta terbabas sendiri

Iklan
Dua lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Jalan Kuching, Kuala Lumpur. - Foto JSPT Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR - Dua lelaki maut selepas kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan dalam kejadian di Jalan Kuching menghala Bulatan Segambut di sini pada Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kemalangan kira-kira jam 2.10 petang itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira yang terbabas sendiri.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati Proton Wira yang dipandu oleh lelaki berumur 23 tahun di lorong paling kanan dari arah pusat bandar menghala ke Bulatan Segambut telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kedua-dua pemandu dan penumpang merupakan lelaki tempatan berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Iklan

Sehubungan itu, beliau meminta saksi kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Balai Polis Trafik Kuala Lumpur di talian 03-20719999 untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Iklan