SHAH ALAM – Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) sedang menyediakan panduan pelaksanaan Bandar Mesra Autisme di Malaysia di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara.
PLANMalaysia menerusi hantaran di Facebooknya berkata, panduan ini akan mengambil kira keperluan komuniti autisme.
Iklan
Iklan
"Ia bukan sahaja melibatkan individu autistik itu sendiri malahan ibu bapa, penjaga, keluarga, guru, rakan, juruterapi dan sebagainya termasuklah keperluan perkhidmatan harian serta keperluan ruang sosial yang direka bentuk berasaskan rasa keterangkuman.
"Sama-sama kita nantikan satu Panduan Pelaksanaan Bandar Mesra Autisme di Malaysia yang akan dikeluarkan tidak lama lagi,” katanya pada Sabtu.
PLANMalaysia berkata demikian sempena sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia 2022 yang disambut pada 2 April setiap tahun.
Tambahnya, Bandar Mesra Autisme merupakan bandar di mana setiap individu autisme dapat menikmati kehidupan normal seperti individu lain.
"Antaranya iaitu melakukan perjalanan dengan pengangkutan awam, membeli belah, mengambil bahagian dalam aktiviti sukan dan berekreasi, melancong, makan di restoran dan mendapat perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kecemasan,” ujarnya.