21 individu dikompaun, merokok di kedai makan

Iklan
Antara individu yang dikompaun kerana didapati merokok di kedai makan.

KUALA LUMPUR - Sebanyak 21 notis kesalahan membabitkan nilai kompaun RM5,250 dikeluarkan kepada individu yang dikesan merokok di premis makanan dalam operasi bersepadu di sekitar ibu kota pada Rabu.

Ketua Sektor Kawalan Tembakau dan Urusetia FCTC, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Noraryana Hassan berkata, sebanyak 13 premis makanan diperiksa sepanjang operasi di Kampung Baru, Kepong dan Jalan Ampang pada jam 8 malam.

Iklan
Iklan

"Dalam operasi itu, seramai 21 pelanggan menerima notis kesalahan mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

"Sebanyak 12 notis membabitkan nilai kompaun RM6,000 dikeluarkan kepada pemilik premis mengikut Peraturan 12 PPKHT 2004 kerana tidak mempamerkan tanda larangan merokok," katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Iklan

Noraryana berkata, operasi itu dilakukan KKM bersama Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

"Penguatkuasaan kepada pematuhan larangan merokok di tempat makan akan dijalankan secara berterusan," tegasnya.

Iklan

Beliau mengingatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan ditetapkan dan sebarang aduan berkaitan merokok di tempat awam boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 010-8608949.

"Bagi golongan perokok yang ingin berhenti merokok boleh melayari laman sesawang: www.jomquit.com," katanya.

Pada 1 Januari 2019, kerajaan menguatkuasakan larangan merokok di kedai makan dan restoran terbuka.