Kerajaan tidak pernah jual MySejahtera kepada swasta: Khairy

Iklan
Gambar hiasan

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan aplikasi MySejahtera dijual kepada syarikat swasta seperti yang didakwa oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan telah memutuskan bahawa aplikasi MySejahtera adalah hak milik kerajaan dan KKM dilantik sebagai pemilik utama aplikasi ini untuk pengurusan kesihatan awam negara pada 26 November lalu.

Iklan
Iklan

Beliau juga memberi jaminan kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek tersebut tidak dikompromi.

"Penggunaan dan pengurusan data MySejahtera perlu mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 dan piawaian antarabangsa. Data MySejahtera tidak boleh dikongsi oleh KKM dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta.

Iklan

"Selain itu, transaksi data daripada aplikasi MySejahtera dimuat naik ke jaringan pelayan awan (cloud server network) setiap hari dan hanya boleh diakses untuk kegunaan aplikasi MySejahtera sahaja. KKM berharap orang ramai akan terus menggunakan aplikasi MySejehtera tanpa ragu-ragu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Anwar sebelum ini mendakwa kerajaan telah menjual aplikasi tersebut kepada pihak swasta dan meminta penjelasan mengapa penjualan aplikasi itu tidak dibuat melalui tender terbuka atas dasar ketelusan.

Iklan

Khairy turut menjelaskan kerajaan tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada syarikat KPISOFT (M) Sdn. Bhd (KPISOFT) yang telah membangunkan aplikasi MySejahtera sepanjang tempoh penggunaan aplikasi ini dari 27 Mac 2020 hingga 31 Mac 2021.

Khairy Jamaluddin

"Perkara ini adalah berdasarkan ketetapan syarikat yang telah menawarkan penggunaan aplikasi MySejahtera kepada kerajaan untuk tempoh setahun tanpa sebarang bayaran berdasarkan prinsip Corporate Social Responsibility (CSR) syarikat," katanya.

Beliau menegaskan setelah tamat tempoh CSR tersebut, kerajaan pada 31 Mac 2021 bersetuju supaya perkhidmatan MySejahtera diteruskan.

"Kerajaan meneruskan kerjasama dengan pihak syarikat dalam melaksanakan peningkatan fungsi MySejahtera sehingga apa yang digunakan pada hari ini. MySejahtera kini mempunyai lebih 10 modul serta sebanyak 38 juta pengguna berdaftar terdiri daripada warganegara, bukan warganegara dan juga pengembara," katanya.

Beliau berkata, keputusan Kerajaan pada 26 November 2021 turut menetapkan supaya KKM menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Harga dengan keahlian yang terdiri daripada agensi pemegang taruh berkaitan untuk melaksanakan rundingan harga perolehan dan pengurusan perkhidmatan aplikasi MySejahtera dengan pihak syarikat untuk tempoh dua tahun, selaras dengan tatacara perolehan kerajaan.

"Skop perolehan dan pengurusan aplikasi MySejahtera antaranya merangkumi pengoperasian platform MySejahtera, pembangunan sistem termasuk pembangunan modul tambahan, penyelenggaraan, pengurusan pusat data dan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak ketiga yang meliputi langganan ke atas perkhidmatan Google Map and Places Application Programming Interface (API) dan perkhidmatan Short Messaging Service (SMS).

"Seterusnya Kementerian Kewangan, melalui surat bertarikh 28 Februari 2022, bersetuju meluluskan permohonan KKM untuk melaksanakan perolehan bagi pengurusan aplikasi MySejahtera dan dimuktamadkan di peringkat Kementerian Kewangan.

"Proses rundingan ini telah dimulakan dan KKM akan memastikan due diligence dilakukan bagi memelihara kepentingan Kerajaan. KKM juga ingin menegaskan bahawa data MySejahtera adalah di bawah penyeliaan kementerian ini sejak ia mula digunakan. Segala pengurusan data akan melalui proses tadbir urus data yang telah ditetapkan oleh KKM," katanya.

Beliau turut memberitahu, sejak aplikasi itu dilancarkan, penggunaannya adalah melalui pendekatan perisian sebagai platform perkhidmatan (software as a service - SaaS).

"Pendekatan ini membantu kerajaan mengurangkan masa kitaran (turnaround time) yang diperlukan untuk membangunkan satu perisian baharu susulan keperluan satu sistem khusus untuk menguruskan pandemik Covid-19.

"Selain itu, aplikasi MySejahtera merupakan platform yang teguh dan dinamik kerana mampu menampung penambahbaikan fungsi aplikasi selari dengan perkembangan semasa wabak Covid-19," katanya.