Persidangan antarabangsa anjuran Malaysia akan guna bahasa Melayu: PM

Iklan
Ismail Sabri ketika sesi pemberitahuan pertanyaan lisan di Dewan Negara pada Rabu. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Semua persidangan antarabangsa anjuran Malaysia di dalam dan luar negara akan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi tujuan tersebut, kerajaan akan menyediakan kemudahan jurubahasa dan penterjemah yang dikendalikan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Iklan
Iklan

"Saya telah mula meminta supaya Kementerian Luar Negeri menyediakan nota percakapan serta dokumen berkaitan dalam bahasa Melayu untuk rujukan saya apabila mengadakan lawatan rasmi ke luar negara.

"Sebagai langkah awal dalam memartabatkan bahasa Melayu, saya sendiri telah menggunakan bahasa Melayu semasa lawatan rasmi saya ke Indonesia, Brunei Darussalam, Kemboja dan Thailand baru-baru ini.

Iklan

"Terkini, semasa lawatan ke Vietnam pada dua hari lepas, saya juga turut menggunakan bahasa Melayu,” katanya ketika sesi pemberitahuan pertanyaan lisan Dewan Negara pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Isa Ab Hamid yang meminta untuk menyatakan usaha kerajaan dalam memperkasa dan memartabatkan Bahasa Melayu dalam urusan diplomatik luar negara serta hubungan antarabangsa.

Iklan

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, rakyat Malaysia tidak perlu berasa malu atau kekok untuk menggunakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Jelasnya, usaha memartabatkan bahasa Melayu ini juga selari dengan salah satu daripada bidang keutamaan Kerangka Dasar Luar Malaysia yang telah dilancarkan oleh kerajaan pada 7 Disember 2021, iaitu Diplomasi Kebudayaan yang turut merangkumi elemen mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia.

"Oleh yang demikian, usaha ini akan diteruskan dalam mana-mana pertemuan atau mesyuarat dan persidangan antarabangsa, sama ada dua hala atau pelbagai hala di dalam mahupun di luar negara mengikut kesesuaian,” ujarnya.