Pestans kekal bersama PSM bangunkan sepak takraw negara

Iklan
Maarof (dua, kanan) beramah mesra dengan sebahagian para pemain pasukan Negeri Sembilan (NS) Antlers pada Majlis Penyerahan Bonus Sepak Takraw League (STL) dan Pengenalan Pemain Ke Champion Cup 2021/2022 di Seremban 2, pada Khamis. - Foto Bernama

PERSATUAN Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans) masih kekal bersama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bagi memastikan pembangunan dan kegemilangan sepak takraw negara dikembalikan semula.

Presiden Pestans Wan Mohd Husni Abdullah berkata, meskipun PSM berdepan kemelut dengan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) selain tertubuhnya Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC), PSM masih lagi diiktiraf Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebagai ahli gabungan sah badan induk itu.

Iklan
Iklan

"Kita memang dah berada dalam PSM dan saya pun tidak menyalahkan MSC yang merupakan badan baharu ditubuhkan. Kita dalam PSM ini seharusnya memperjuangkan PSM itu sendiri dan isu persatuan ini untuk diterima semula sebagai ahli gabungan ASTAF perlu diselesaikan secara baik.

"Saya harap PSM dapat diberikan peluang dengan usaha yang sedang dilakukan kepimpinan baharu. Kalau boleh perkara ini dilihat kembali dan kita pun tak nak bergaduh sebab apa yang kita mahu adalah memperjuangkan arena sepak takraw negara," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bonus Liga Sepak Takraw (STL) dan Pengenalan Pemain Champion Cup 2021/2022 yang turut dihadiri Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad di sini pada Khamis.

Pada 11 Mac lepas, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Mazlan Ahmad dilaporkan berkata, semua ahli gabungan yang berada di bawah PSM disaran menyertai MSC memandangkan badan induk yang baharu ditubuhkan itu sudah diterima sebagai ahli gabungan ASTAF.

Iklan

Sementara itu, Wan Husni berkata, selepas mencatat prestasi cemerlang dengan menduduki tangga ketiga dalam saingan liga Emas Anuar STL 2021/2022, Negeri Sembilan Antlers dilihat mampu mengekalkan momentum itu sekali gus akan mara ke separuh akhir Champion Cup yang dijadual mulai 20 Mac ini.

Beliau berkata, sasaran itu adalah realistik dan mampu dicapai menerusi komitmen dan semangat berpasukan yang tinggi, selain diperkuatkan dua pemain baharu iaitu Muhammmad Haziq Hairul Nizam dan Mohd Norhafizi Abdul Razak.

Muhammmad Haziq sebelum ini merupakan tekong Selangor Piston dan Mohd Norhafizi adalah 'killer' PDRM Defender.

Wan Husni berkata, pasukannya juga akan membuat persiapan lebih rapi dan berusaha memperbaiki kelemahan pada tahun sebelumnya.

Negeri Sembilan Antlers di bawah bimbingan dua jurulatih, Shahibol Mazlan dan Shahir Nasrudin dibarisi Mohd Syazreen Qamar Salehan selaku ketua pasukan selain Mohd Hafizul Hayazi Adnan, Zulefendi Sumari, Yus Hanif Rosli dan Mohamad Hisham Mat. - Bernama