KWSP RM10,000: Desakan UMNO berjaya

Iklan
Ahmad Zahid. - Foto Bernama
SHAH ALAM - Kebenaran pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000 bagi mereka yang memerlukan membuktikan desakan UMNO secara berterusan selama ini membuahkan hasil.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, biarpun terdapat pelbagai alasan, kelengahan dan tentangan daripada banyak pihak, UMNO tidak berganjak daripada perkara bermanfaat yang akhirnya diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Rabu.

"Perkara ini membuktikan dengan jelas UMNO adalah parti yang mendengar rintihan dan suara akar umbi.

"UMNO akan mengusahakan segala yang baik. Lambat atau cepat, semua itu proses yang mesti dilalui dengan kesungguhan dan ketegasan,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Kenyataan Ahmad Zahid itu susulan Perdana Menteri dalam Sidang Media Khas pada Rabu, mengumumkan kebenaran pengeluaran caruman KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, UMNO nekad untuk terus mengusahakan lebih banyak dasar dan inisiatif yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan hidup masyarakat.

"Inilah UMNO sebenarnya. Sebuah parti yang berdiri atas amal bakti. Sebuah parti yang hidup dengan nadi dan suara rakyat.

"Namun perkara ini juga mengajar kita satu perkara penting. UMNO mesti menjadi parti yang kuat, stabil dan diyakini. Hanya dengan menjadi parti yang besar dan kuat, suara serta desakan UMNO tidak dipandang enteng oleh sesiapa pun yang menjadi kerajaan,” katanya.