KUALA LUMPUR - Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) merupakan elemen penting kepada pengukuhan ekosistem ekonomi negara terutamanya pasca pandemik Covid-19 ketika ini.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, justeru adalah mustahak agar GLIC dan GLC untuk terus distrukturkan dan ditambah baik.
Iklan
Iklan
"Dalam perkara ini, kerajaan kini giat berusaha untuk menajamkan lagi fokus GLIC terutamanya dalam menceburi industri baharu seperti yang berteraskan Revolusi Industri 4.0.
"Selain itu, program Tindak Balas Bencana Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) - GDRN, adalah antara contoh bagaimana GLIC dan GLC mengoptimumkan sumber terkumpul bagi memanfaatkan lebih ramai benefisiari, terutamanya dalam kalangan B40 dan golongan tumpuan tertentu," katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Hari Terbuka GLC di sini pada Jumaat.
Tengku Zafrul bagaimanapun berkata, pandemik Covid-19 telah mengubah hidup dan cara beroperasi sama ada di peringkat individu mahupun perniagaan.
Katanya, ia juga telah menyerlahkan pelbagai kelemahan yang telah lama bertapak di dalam struktur sosio-ekonomi kita.
"Sehubungan itu, dalam usaha kita untuk terus menambahbaik ekosistem GLC ini, kita juga harus mengambil kesempatan ini untuk memperkasakan GLIC dan GLC bagi membantu kerajaan menangani isu-isu struktur tersebut," katanya.