Siasatan sotong ring masih berjalan: Idris

Iklan
Idris berkata, hasil siasatan akan dimaklumkan secara rasmi oleh pihak berkuasa berkaitan setelah keputusan analisis makmal dikeluarkan oleh Jabatan Kimia Malaysia. (Gambar kecil: Datuk Idris Ahmad)

SHAH ALAM - Siasatan berkaitan gegelang sotong atau sotong ring yang didakwa diperbuat daripada dubur atau usus babi masih lagi berjalan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.

Menurut beliau, sampel makanan tersebut telah dihantar kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk tujuan analisis dan pengesahan.

Iklan
Iklan

Jelasnya, ​hasil siasatan akan dimaklumkan secara rasmi oleh pihak berkuasa berkaitan setelah keputusan analisis makmal dikeluarkan oleh Jabatan Kimia Malaysia.

"Sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan oleh mana-mana pihak kepada peraturan yang telah ditetapkan, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mengambil tindakan tegas untuk menjaga kemaslahatan masyarakat.

Iklan

"​Jika terdapat sebarang keraguan terhadap produk-produk di pasaran, masyarakat boleh membuat aduan serta rujukan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk penjelasan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Kenyataan tersebut dikeluarkan setelah satu perbincangan antara pihak Jakim bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan tiga Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) iaitu Jabatan Agama Islam Negeri Selangor, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis.

Iklan

Pada 4 Mac lalu, Jakim memaklumkan bahawa pihaknya sedang melakukan siasatan berkaitan isu viral sotong ring yang didakwa dengan beberapa versi sebagai dubur atau usus babi.

Menurut Idris, ​KPDNHEP bersama JAIN yang berkaitan telah mengambil tindakan awal sebaik isu tersebut ditularkan dengan turun padang menjalankan siasatan serta mengambil sampel untuk dianalisis.

Dalam masa yang sama, jelas beliau, Jakim telah menghubungi badan pensijilan halal di China iaitu Shandong Halal Certification Services (SHCS) bagi mendapatkan pengesahan berhubung sijil halal produk berkenaan.