KPDNHEP pastikan bekalan, harga pelitup muka dan kit ujian stabil

Iklan
Alexander

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memastikan bekalan pelitup muka, Kit Ujian Kendiri Covid-19 (RTK) stabil serta peniaga mematuhi harga maksimum ditetapkan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam wajib dipatuhi kerana langkah itu masih diperlukan bagi membendung Covid-19 terutama varian Omicron yang mudah merebak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah pencegahan dan pengesanan melalui pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera juga terus diwajibkan dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka tidak sesak serta tiada perhimpunan orang ramai.

"Selain itu, MYSJTrace diwajibkan untuk tempat tertutup dipenuhi tetamu atau pengunjung dan SOP ini wajib dipatuhi oleh pengguna ketika mengunjungi premis perniagaan terutama sektor peruncitan serta pengedaran di bawah seliaan KPDNHEP.

Iklan

"Sebagai makluman, peratus pematuhan SOP Pelan Pemulihan Negara bagi sektor perdagangan pengedaran adalah tinggi sehingga 99.9 peratus berdasarkan pemeriksaan di 1.088 juta premis dari 13 Mei 2020 hingga 8 Mac 2022.

"Sejumlah 1,063 kes direkodkan bagi pelbagai kesalahan ketidakpatuhan SOP dan jumlah kompaun yang dikeluarkan pula adalah sebanyak RM5.267 juta sepanjang tempoh sama,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Iklan

Tambah beliau, fasa ‘peralihan ke endemik’ bermula 1 April depan akan membolehkan Keluarga Malaysia kembali kepada kehidupan dan aktiviti seperti biasa dalam norma baharu lebih selamat.

Menurutnya, komuniti perniagaan tentua dapat menarik nafas lega dengan pengumuman ini berikutan pemansuhan had waktu beroperasi bagi premis perniagaan.

"Pemilik premis dibolehkan melaksanakan waktu operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis dan pada masa sama memastikan pengudaraan yang baik di dalam premis.

"Ini bermakna semua premis peruncitan termasuk pasar raya, pasar raya besar, mini-mart, kedai runcit, pasar basah, pasar tani, pasar malam dan kedai makan boleh beroperasi sepenuhnya.

"Pembukaan sepenuhnya pasti menjadi pemangkin merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya sektor perdagangan dan pengedaran,” katanya.

Kata beliau lagi, KPDNHEP berharap rakyat terutama komuniti perniagaan dan pengguna menyokong kesemua SOP peralihan ke endemik agar negara segera kembali kepada kehidupan dan aktiviti seperti biasa sebelum Covid-19 tetapi dalam norma baharu.