Buka sempadan: Langkah positif bagi proses pemulihan negara

Iklan
Pembukaan semula sempadan negara berkuatkuasa 1 April ini.

SHAH ALAM - Pengumuman pembukaan semula sepenuhnya sempadan negara berkuatkuasa 1 April ini merupakan langkah positif dalam proses pemulihan negara terutama bagi sektor-sektor terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 seperti pelancongan dan perdagangan.

Menurut Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin, keputusan tersebut selari dengan syor majlis berkenaan pada 8 Februari lalu bagi pembukaan semula sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib.

Iklan
Iklan

"Malaysia memainkan peranan yang penting dalam rangkaian bekalan dunia (global supply chain) dan penutupan pintu sempadan yang berpanjangan semestinya akan menjejaskan posisi serta kebolehan daya saing Malaysia di peringkat perdagangan antarabangsa.

"Insya-ALLAH dengan pembukaan semula sempadan negara ini, Malaysia akan terus berada pada landasan tepat bagi pemulihan ekonomi negara yang diunjurkan untuk berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus untuk tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Dalam pada itu, beliau berharap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan terutamanya di pintu sempadan darat dan air seperti di pintu sempadan Johor-Singapura tidak membebankan serta senang difahami orang ramai.

"Saya juga ingin menegaskan kepada semua yang ingin menggunakan kemudahan pembukaan semula ini supaya sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Iklan

"Dengan peralihan ke fasa endemik Covid-19, diharapkan agar rakyat Malaysia terus mengamalkan norma-norma baharu dan cekal bagi memastikan diri dan keluarga sentiasa terlindung.,” jelasnya.

Muhyiddin turut berharap agar mereka yang masih belum mendapatkan vaksin penggalak Covid-19 supaya berbuat demikian secepat mungkin agar terlindung daripada kesan-kesan virus berkenaan.

"Marilah kita bersama-sama menggunakan momentum pembukaan sempadan ini untuk terus menggembleng tenaga dalam usaha-usaha pemulihan negara. Saya berdoa agar Malaysia terus pulih dan terus dilindungi ALLAH,” ujarnya.