Kebocoran paip pam utama punca masalah air di Labuan

Iklan

LABUAN - Kebocoran paip pam utama dari tangki air agihan di Pulau Enoe telah menyebabkan gangguan air tidak berjadual di pulau bebas cukai ini sejak dua bulan lepas.

Pengarah Jabatan Bekalan Air Labuan (JBA), Trinil Indah Puspita berkata, usaha telah dipergiatkan untuk membaiki paip berdiameter 800mm yang bocor, mengakibatkan gangguan bekalan air kepada ribuan pengguna di beberapa kampung dan kawasan perumahan.

Iklan
Iklan

"Kami telah mengenal pasti kebocoran pada paip pam dan juga di kawasan kebuk, yang terletak di Jalan Rancha-Rancha dan kami sedang berusaha membaikinya.

"Kami memahami kesukaran yang dihadapi pengguna, kami akan melakukan yang terbaik untuk menyegerakan kerja-kerja pembaikan,” katanya pada Jumaat.

Iklan

Masalah air di pusat kewangan antarabangsa dan perniagaan serta hab minyak dan gas terus bertambah serius sejak awal Januari dengan 35 notis gangguan bekalan air dikeluarkan JBA, dengan beberapa kawasan mengalami pemotongan air selama dua minggu.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli mengetengahkan isu air semasa persidangan Dewan Rakyat pada 2 Mac meminta peruntukan untuk penyelesaian jangka pendek.

Iklan

Labuan bergantung kepada 90 peratus bekalan air dari tanah besar, melalui saluran paip dasar laut sepanjang 25.7 kilometer yang disalurkan terus dari Sungai Padas di Beaufort ke empangan di Pulau Enoe.

Gangguan bekalan air adalah perkara biasa di Labuan dan merupakan isu berterusan selama beberapa dekad dan paip lama antara punca masalah itu.

JBA akan mengemas kini status terkini mengenai bekalan air dari semasa ke semasa melalui laman web agensi. - Bernama